AYRON jaring dua gol ketika Selangor FC menentang PDRM FC.
AYRON jaring dua gol ketika Selangor FC menentang PDRM FC.
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Sentuhan penyerang import Selangor FC, Ayron del Valle cukup berbisa apabila memacu kebangkitan Red Giants untuk menewaskan PDRM FC 4-1 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, sebentar tadi.

Ayron yang juga penjaring terbanyak Liga Colombia sebelum ini nyata berada pada kelas tersendiri apabila dua golnya membantu pasukan bangkit daripada ketinggalan, sebelum rakan sepasukan menggandakan dua gol lagi untuk memberi bekalan selesa untuk aksi kedua nanti.

Malah, kemenangan itu juga menaikkan motivasi Selangor yang dalam pemburuan menjulang trofi keagungan itu buat kali ke-34 dalam sejarah pasukan itu.

Dalam aksi itu, skuad The Cops terlebih dulu mengejutkan kem Selangor apabila mendahului seawal minit 25 hasil jaringan Hadi Fayyadh Abdul Razak apabila menyambung percubaan Bruno Suzuki yang sebelum itu terkena tiang.

Ketinggalan satu gol menyaksikan anak buah Tan Cheng Hoe menggandakan asakan di babak kedua dan hasilnya Ayron meledak di minit 57 selepas dia memanfaatkan tangkapan muntah Ramdhan Ab Hamid.

Ayron sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila mencetak gol cantik menerusi satu sepakan gunting di minit 64 yang sama sekali gagal dihalang Ramdhan.

Selangor yang dikecewakan pada final Piala Malaysia musim lalu selepas tewas kepada JDT terus menjarakkan kedudukan dengan gol ketiga menerusi tandukan tonggak pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar di minit 74.

PDRM terus menderita di hujung permainan apabila pemain gantian, Yohandry Orozco mencetak gol keempat buat pasukannya.

Kelebihan skuad Merah Kuning kekal hingga wisel penamat, dengan aksi timbal balik bakal berlangsung pada 19 Ogos ini di venue sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 11:06 PM