PEMAIN JDT meraikan jaringan ketika menentang Perak FC. FOTO Johor Southern Tigers
PEMAIN JDT meraikan jaringan ketika menentang Perak FC. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut semakin berada dalam genggaman Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas membelasah Perak 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Skuad kendalian Esteban Solari terus mengekalkan rekod bersih tanpa kalah apabila meraih kemenangan ke-20 berturut-turut dan ia pencapaian `luar biasa' buat skuad bergelar Harimau Selatan sejak ditransformasi pada 2013.

JDT yang menguasai setiap posisi sebaik permainan bermula hampir membuka akaun jaringan seawal minit kedua selepas bola hantaran lintang Oscar Arribas hampir disudahkan Endrick Dos Santos tetapi sempat ditepis penjaga gol lawan T Shaheeswaran.

Skuad kendalian Yusri Che lebih gemar berkampung di kawasan sendiri tapi tidak mampu menghalang JDT meraih gol pertama pada minit ke-21 selepas Heberty Fernandes meledak rembatan dari jarak 25 meter menewaskan Shaheeswaran.

Selang enam minit kemudian, JDT menghukum kealpaan benteng The Bos Gaurus selepas bola berpunca daripada sepakan sudut Juan Muniz ditanduk Matthew Davies untuk gol peribadi pertamanya musim ini.

Kesilapan Shaheeswaran membolehkan Bergson Da Silva menjaringkan gol ketiga JDT sebelum tamat babak pertama.

Sebaik babak kedua bermula, anak didik Solari tidak menunggu lama untuk menambah derita Perak FC pada minit ke-55 selepas hantaran jauh kapten Jordi Amat tepat kepada Arribas yang merembat kencang menewaskan penjaga gol Perak FC.

JDT melengkapkan kemenangan besar dengan gol kelima pada minit ke-66 selepas sepakan percuma Juan Muniz dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan Shaheeswaran dan kedudukan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 11:20 PM