STUART menunjukkan kelengkapan VAR yang sudah tiba di Wisma FAM dan diuji pengadil tempatan.
STUART menunjukkan kelengkapan VAR yang sudah tiba di Wisma FAM dan diuji pengadil tempatan.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Empat set sistem video bantuan pengadil (VAR) sudah berada di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan teknologi itu sedang digunakan untuk latihan pengadil sebagai persediaan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perkara itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam ketika ditemui di Wisma FAM semalam.

Jelasnya, kesemua kelengkapan VAR sedang diuji dengan pihaknya sedang berusaha mendapatkan beberapa trak yang akan membawa VAR di setiap venue perlawanan Liga M nanti.

"Empat set VAR dah sampai ke Malaysia, tapi VAR set itu bukan bermakna semua kelengkapan. Kelengkapan diperlukan di belakang tabir adalah macam 'server' dan skrin sentuh semua dah sampai.

"Sebagaimana kita laporkan sebelum ini, VAR akan dilaksanakan di peringkat mobile dalam trak. Trak VAR itu kita dalam proses membeli atau mendapat penajaan trak tersebut, dan ia akan melengkapkan kesemua kelengakapan," katanya.

Menurutnya lagi, MFL akan memohon kelulusan kepada Fifa pada Februari tahun depan sebelum ia boleh dilaksanakan dalam saingan liga domestik yang bakal bermula April nanti.

"Ujian terakhir akan dibuat Februari tahun depan untuk dapatkan kelulusan terakhir daripada Fifa, tapi itu semua pelaksanaan daripada FAM.

"Kami pasti dalam jangka masa pendek ini kita sudah sampai ke tahap tiga pelaksanaan VAR, dan kita harap sebelum bermula liga tahun depan pada bulan empat dapat melaksanakan VAR sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 2:40 PM