PENYERANG Perancis, Marcus Thuram (tengah) mengawal bola ketika menentang Greece.  FOTO AFP
PENYERANG Perancis, Marcus Thuram (tengah) mengawal bola ketika menentang Greece. FOTO AFP
AFP

Athens: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata, ketiadaan teknologi garisan gol menyebabkan pasukannya gagal meraih kemenangan di Greece dalam aksi terakhir kelayakan Euro 2024 selepas jaringan lewat mereka tidak disahkan pengadil, awal pagi tadi.

Kedudukan 2-2 di Arena OPAP kekal sehingga pada minit terakhir masa kecederaan apabila percubaan Kingsley Coman terkena pertahanan lawan sebelum bola melepasi garisan gol dan keluar.

Tetapi jaringan itu tidak dibenarkan pengadil yang tidak mempunyai teknologi garisan gol untuk membantu mereka

"Ini aksi antarabangsa. Beraksi di atas padang yang tiada teknologi garisan gol. Mungkin kerana mahal tetapi pegawai perlu menyediakannya," kata Deschamps.

Naib juara Piala Dunia tahun lalu itu sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan akhir di Jerman sebagai antara pilihan utama tetapi memburu kemenangan sempurna dalam lapan perlawanan Kumpulan B.

Kemenangan juga membolehkan mereka menamatkan kempen tahun ini dengan menduduki ranking teratas dunia.

Dengan kapten Kylian Mbappe direhatkan daripada barisan kesebelasan, pelawat memerlukan rembatan kencang jarak jauh daripada pemain tengah Monaco, Youssouf Fofana minit ke-74 untuk menyamakan kedudukan 2-2 ketika menentang juara Eropah 2004 itu.

Fofana memainkan peranan ketika jaringan pembukaan oleh Perancis tiga minit sebelum rehat apabila hantarannya tepat menuju penyerang Paris Saint-Germain, Randal Kolo Muani yang meledak rembatan kencang daripada sudut sukar.

Greece menyamakan kedudukan 1-1 selepas 11 minit babak kedua menerusi voli kapten Tasos Bakasetas dan lima minit kemudian mereka di depan hasil jaringan Fotis Ioannidis.

Perancis bangkit dengan gol penyamaan daripada Fofana sebelum 'drama' pada masa kecederaan yang turut menyaksikan percubaan Mbappe yang masuk sebagai pemain gantian terkena palang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 7:22 AM