REAKSI Paqueta (tengah) selepas menjaringkan gol West Ham.  FOTO AFP
REAKSI Paqueta (tengah) selepas menjaringkan gol West Ham. FOTO AFP
Reuters

London: Jaringan lewat Lucas Paqueta membolehkan West Ham United menang 1-0 di tempat sendiri ke atas Olympiakos Piraeus untuk kekal di puncak Kumpulan A Liga Europa manakala pendahulu Kumpulan B, Olympique de Marseille menewaskan AEK Athens 2-0, awal pagi tadi.

West Ham tewas 1-2 di tangan kelab Greece itu sebelum ini tetapi kemenangan di Stadium London membolehkan mereka menyamai sembilan mata dengan pasukan di tangga kedua Freiburg yang membelasah Backa Topola 5-0. Olympiakos di tangga ketiga dengan empat mata.

Paqueta memecah kebuntuan minit ke-73 menerusi voli kaki kiri selepas mendapat hantaran cantik James Ward-Prowse untuk gol ketiganya dalam saingan Eropah musim ini.

Penyokong West Ham tergamam seketika pada lewat permainan apabila pelawat hampir meyamakan kedudukan apabila tandukan Mady Camara dari jarak dekat terkena tiang.

Dalam perlawanan lain, Marseille meraih kemenangan kedua hasil kemenangan di Athens menerusi jaringan Chancel Mbemba dan Ismaila Sarr.

Mbemba membuka tirai jaringan dengan tandukan hasil sepakan sudut minit ke-25 sebelum Sarr mengesahkan kemenangan pada minit ke-3 masa kecederaan.

Kelab Ligue 1 itu meraih lapan mata, satu mata mengatasi Brighton & Hove Albion yang menang 2-0 di Ajax Amsterdam.

Atalanta pula menang 1-0 ke atas Sturm Graz dalam hujan di Stadium Gewiss menerusi Berat Djimsiti lima minit selepas rehat.

Kelab Itali itu belum tewas dalam Kumpulan D dengan 10 mata, tiga mata mengatasi Sporting yang menewaskan Rakow Czestochowa 2-1.

Villarreal menewaskan Maccabi Haifa 2-0 di Larnaca, Cyprus dalam perlawanan yang dijadualkan semula susulan konflik Israel-Hamas.

Jaringan awal Danilo Pereira dan Todd Cantwell membolehkan Rangers mengatasi Sparta Prague 2-1 manakala Real Betis membelasah Aris Limassol 4-1.

Betis mendahului Kumpulan C dengan sembilan mata dan Rangers kedua dengan tujuh mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 8:04 AM