PEKAN (belakang, empat dari kanan) bersama pemain skuad UPNM yang muncul johan Liga Wanita bagi Liga Futsal IPT 2023, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
PEKAN (belakang, empat dari kanan) bersama pemain skuad UPNM yang muncul johan Liga Wanita bagi Liga Futsal IPT 2023, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Penganjuran Liga Futsal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2023 yang memasuki edisi ke-13 tahun ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam menjadi platform mengetengahkan pemain bakat muda berkualiti untuk beraksi pada peringkat lebih tinggi.

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli, berkata ini dapat dilihat daripada aspek peningkatan penyertaan membabitkan 28 pasukan berbanding 20 pasukan mengambil bahagian, tahun lalu.

"Kita lihat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah memperkasakan sukan fustsal negara dengan semakin ramai pemain yang digilap bakat mereka dalam platform ini mendapat tempat dalam Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) pada peringkat kebangsaan.

"Kita mempunyai struktur pengurusan dan pembangunan bakat sukan agak baik dengan kejohanan ini menampilkan persaingan kompetitif dan beberapa sirkit pendedahan yang dilihat menjadi elemen berharga untuk meningkatkan kematangan pemain dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Liga Futsal IPT 2023 di Kompleks Sukan Azman Hashim di sini, hari ini.

Pekan berkata, kali ini pihaknya turut memberi fokus kepada pembangunan bakat pemain futsal wanita dan berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengembalikan kategori wanita dalam saingan peringkat kebangsaan pada masa depan.

"Kita ada saingan liga futsal wanita pada peringkat IPT, tetapi pada peringkat kebangsaan sudah tiada.

"Jadi, pemain berbakat ini hendak ke mana jika tiada lagi platform persaingan liga untuk kategori mereka pada peringkat kebangsaan," katanya.

Beliau berkata, pada masa depan pihaknya turut akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula Piala Menteri untuk kejohanan anjuran KPT itu yang dijayakan dengan kerjasama Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM), Majlis Sukan Politeknik (MSP) dan Majlis Sukan IPT Swasta Malaysia (MASISWA) itu.

Pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dinobatkan sebagai juara Liga Futsal IPT 2023 bagi kategori Liga Super membawa pulang RM12,000 manakala pasukan Kolej Poly-Tech MARA Bangi (KPTM Bangi) yang merangkul tempat kedua menerima RM8,000 dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) meraih RM5,000 di tempat ketiga.

Pasukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengungguli kategori Liga Premier menerima hadiah berjumlah RM8,000 manakala Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang bergelar johan Liga Wanita mendapat RM6,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 8:13 PM