KEJOHANAN VTF mampu melahirkan atlet pelapis negara. FOTO KPT
KEJOHANAN VTF mampu melahirkan atlet pelapis negara. FOTO KPT
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sejak tahun lalu bukan sahaja mendapat perhatian daripada pihak Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) malah Institusi Pengajian Tinggi Swasta ( IPTS) dalam usaha meningkatkan kecemerlangan sukan olahraga negara.

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, kejohanan berkenaan semakin meriah dengan pertambahan penyertaan atlet daripada IPTA dan IPTS.

Katanya, tahun lepas KPT menggunakan nama kejohanan VTF sebagai Kejohanan Olahraga IPT dan terdapat empat sirkit dan Grand Final manakala tahun ini KPT memperkenalkan tiga sirkit serta Grand Final bagi penjenamaan baharu kejohanan berkenaan.

"Impaknya, kita lihat kejohanan sukan olahraga yang dianjurkan oleh KPT dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Sukan Olahraga Universiti Putra Malaysia (UPM) sudah membangkit satu semangat baru kepada atlet olahraga di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

"Itulah sebabnya kita dapat lihat sekarang bukan sahaja atlet daripada IPTA sahaja tetapi terdapat juga pembabitan atau penyertaan daripada atlet IPTS juga," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Kejohanan VTF sirkit ketiga yang berlangsung selama tiga hari di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah penyertaan 352 atlet.

Pekan berkata, kebiasaannya penyertaan atlet dalam kejohanan VTF lebih 400 orang dengan penyertaan kira-kira 30 atlet kebangsaan tetapi kali ini kurang memandangkan sebahagian besar atlet terbabit kini menyertai Sukan Asia di Hangzhou, China.

"Apa pun penyertaan atlet daripada IPTA dan IPTS dalam kejohanan ini sudah pun memberi satu gambaran yang baik dan positif untuk bersama pihak KPT meningkatkan kecemerlangan sukan olahraga.

" Malah, sekarang ini jelas sekali juga kita dapat lihat Kesatuan Olahraga Malaysia juga melihat kejohanan VTF ini sebagai platform melihat bakat atlet baharu yang terdapat di IPT untuk diserapkan ke pasukan kebangsaan."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 2:06 PM