BERGSON (tengah) melakukan libasan ketika menentang Selangor FC di final Piala Malaysia, Sabtu lalu. FOTO AIZUDDIN SAAD
BERGSON (tengah) melakukan libasan ketika menentang Selangor FC di final Piala Malaysia, Sabtu lalu. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jentera penggempur Johor Darul Ta'zim (JDT) dijangka lebih berbisa pada musim depan selepas kelab itu mengesahkan bakal membawa masuk seorang lagi penyerang dari Brazil.

Ia disahkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengakui ayam tambatan baharu itu akan bergandingan dengan penjaring terbanyak Liga Malaysia musim ini, Bergson da Silva.

Tunku Ismail berkata, perbincangan kini sudah hampir 80 peratus dan pihaknya akan membuat pengumuman mengenai pemain itu selepas mencapai persetujuan 100 peratus.

Ujarnya, kehadiran penyerang itu cukup penting bagi memastikan kualiti dan rentak permainan JDT tidak terganggu apabila jurulatih mahu merehatkan tonggak lain yang mungkin kepenatan atau cedera.

"Macam saya katakan tadi, kita akan ada penyerang Brazil untuk membantu jurulatih membuat perubahan formasi.

"Jadi ia supaya kami ada pemain yang hebat, jika kami perlu memberi rehat kepada Fernando Forestieri atau Bergson.

"Jadi pada masa sama, kita boleh buat penggiliran dengan pemain berkualiti," katanya di laman sosial Johor Southern Tigers (JST).

Selain itu, Tunku Mahkota Johor itu turut mengesahkan akan ada seorang pemain tengah menyerang dari Sepanyol yang dibawa bersama-sama pemain pertahanan kiri kelahiran Sepanyol.

Namun begitu, pertahanan yang mampu beraksi di pelbagai posisi ini bakal mengisi kuota pemain Asia selepas memiliki dokumen selaku warga Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 8:25 PM