BERGSON Da Silva. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
BERGSON Da Silva. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Penyerang prolifik Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson Da Silva berazam menebus kekecewaan apabila gagal membantu pasukan itu meraih kemenangan pertama pada pertembungan menentang kelab dari Thailand, BG Pathum United dalam aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Pathum Thani, Bangkok, malam esok.

Penyerang import kelahiran Brazil itu menganggap kekalahan 0-1 kepada kelab dari Jepun, Kawasaki Frontale mungkin tidak akan berlaku seandai dia dapat melakukan penyudah tepat tatkala beberapa percubaan berbahaya gagal merobek gawang kelab dari Jepun itu.

Justeru, dia mengidamkan tiga mata penuh pada aksi kedua saingan ACL walaupun sedar ia tugas sukar bagi memastikan cabaran skuad Harimau Selatan kembali `bernyawa' di saingan peringkat kumpulan meskipun tahu kehebatan skuad kendalian Thongchai Sukkoki.

"Kami tahu mereka bermain di liga yang baik dengan pasukan yang bagus tetapi kami adalah JDT. Kami tidak takut pada sesiapa dan kami boleh tekan mereka seperti kami lakukan pada Kawasaki Frontale hanya tidak bernasib sahaja malah pada saingan musim lepas kami berjaya tewaskan Ulsan Hyundai.

"Kami sudah buktikan kepada semua apa yang kami mampu lakukan dan semua juga tahu JDT berada di tahap yang berlainan termasuk pemerhati bola sepak di Brazil. Apa yang perlu kami lakukan di sana adalah fokus dan lakukan yang terbaik untuk berikan kebanggaan buat semua penyokong JDT," katanya.

Bergson yang mencipta enam gol pada edisi ACL musim lalu hingga mendapat perhatian kelab di Eropah tidak kisah siapa pun yang menjaringkan gol kerana baginya tiga mata penuh untuk Harimau Selatan adalah lebih penting dalam perlawanan ini.

"Sudah tentu kami mahukan tiga mata dan saya tidak kisah siapa pun yang jaringkan gol. Jika tewas sekalipun, biar seperti perlawanan sebelum ini kerana selepas mencuba menekan lawan dan itu adalah mentaliti kami.

"Apabila tewas apa yang penting adalah karektor yang ditunjukkan oleh setiap pemain untuk bangkit semula dan beraksi dengan corak permainan berintensiti tinggi malah apa yang perlu kaki lakukan kerap beri tekanan kepada pasukan lawan," jelasnya.

Aksi BG Pathum dan JDT pastinya menjadi tumpuan penyokong bola sepak tempatan apabila dua kelab Asia Tenggara ini akan membuktikan kejaguhan masing-masing di peringkat terbesar Asia dengan kedua-dua kelab mahu mencari kemenangan pertama mereka musim ini.

Pada aksi perlawanan pertama, BG Pathum United tumpas 1-3 kepada Ulsan Hyundai pada aksi di Stadium Ulsan Munsu, Ulsan. 19 September lalu dan sudah pasti mereka mahu menjadikan JDT sebagai mangsa untuk tiga mata pertama di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 5:47 PM