PROVOKASI berterusan dilakukan penyokong tuan rumah di luar stadium.
PROVOKASI berterusan dilakukan penyokong tuan rumah di luar stadium.
Firdaus Hashim dan Amirul Fazli


Kuala Lumpur: "Memang ada provokasi dari penyokong tuan rumah sebelum dan selepas perlawanan." Demikian pengesahan seorang wakil media dari sebuah portal tempatan, Mohd Fahmi Ismail yang menjadi saksi pergelutan antara penyokong BG Pathum United dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di pekarangan Stadium Pathum Thani di Bangkok, semalam.

Jelas Fahmi, pada mulanya insiden terbabit hanya babitkan provokasi mulut daripada sekelompok penyokong tuan rumah yang dikenali sebagai Casual BG Pathum United.

"Sebenarnya provokasi itu dah mula sebelum perlawanan lagi, apabila penyokong Casual cakap 'go back', 'go back'. Tapi penyokong JDT yang dikenali sebagai BOS (Boys Of Straits) tak balas atau buat apa-apa respon balas.

"Namun selepas habis perlawanan insiden lebih buruk jadi apabila ada pergelutan di luar stadium dalam keadaan hujan renyai.

"Macam yang dah tular dalam video di media sosial, ada penyokong BOS yang kena pukul dan terkena balingan mercun. Ia berlaku dekat Zon N stadium itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, seorang penyokong JDT yang enggan mendedahkan identitinya berkata, insiden berkenaan berjaya dileraikan dengan bantuan pihak polis Thailand.

"Pada mulanya semua dalam keadaan baik dan kita boleh menyanyi bersama-sama dengan mereka di luar stadium namun selepas menyanyi lagu sawadikap itu, di depan sikit dari tempat kami, ada satu kumpulan casual dari mereka mula bertindak.

"Mereka mulakan dahulu provokasi termasuk bakar dan paling suar ke arah penyokong. Ada juga diantara kami yang terkena tapi tiada kecederaan serius.

"Waktu berlaku pergaduhan itu, ada polis dan segelintir penyokong mereka sendiri cuba meleraikan keadaan itu dari menjadi lebih serius," katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan detik cemas sekumpulan penyokong setia JDT diserang penyokong BG Pathum United selepas berakhirnya aksi antara kedua-dua pasukan.

Penyokong JDT yang digelar BOS itu diserang sekumpulan penyokong tuan rumah yang tidak dikenali hingga berlakunya insiden tumbuk menumbuk dan balingan mercun.

Dalam aksi terbabit, JDT berjaya melakar kemenangan 4-2 mengatasi skuad The Rabbits itu sekali gus menghadiahkan tiga mata maksimum buat pelawat dalam aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) itu.

Sebelum itu, beberapa jam sebelum sepak mula perlawanan berkenaan, pemilik JDT yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan keluarganya turut berdepan detik cemas berhampiran hotel penginapannya.

Ia susulan berlaku insiden tembakan di pusat membelah Siam Paragon Mall yang berhampiran dengan hotel penginapan keluarga TMJ, yang ketika itu sudah berada di lobi untuk berangkat ke venue perlawanan bagi menyaksikan aksi JDT dan BG Pathum United.

Bagaimanapun, Tunku Ismail terpaksa melupakan hasrat menonton aksi itu apabila di bawa terus ke kedutaaan bagi melindungi keselamatan keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 3:46 PM