CEO  Perak FC, Bobie Farid Shamsudin. -FOTO Agensi
CEO Perak FC, Bobie Farid Shamsudin. -FOTO Agensi
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perak FC sedia menyekat kemasukan penyokong 'bermasalah' terutamanya daripada penyokong Casual Perak yang gemar mencetuskan provokasi hingga berlakunya pergaduhan di dalam stadium.

Jika ia berjaya dilaksanakan maka skuad The Bos Gaurus bakal muncul kelab pertama Liga Malaysia (Liga M) yang menyekat kemasukan Casual.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin berkata, tindakan itu antara formula bagi membendung budaya samseng bola sepak ataupun 'hooligan'.

Katanya, bagi melaksanakan perkara itu, pihaknya perlu memikirkan kaedah dan cara terbaik untuk mengesan dan menghalang kelompok samseng bola sepak ini memasuki stadium selepas ini.

"Kita sedia menghalang penyokong yang suka mencetuskan masalah ini daripada memasuki stadium.

"Tetapi apa caranya untuk kita kesan mereka ini daripada membeli dan masuk ke stadium, bukan mudah untuk buat. Sebab kadang-kadang, mereka ini boleh saja minta orang lain belikan tiket.

"Tapi kita akan fikirkan cara untuk tangani isu ini dan saya ingin ucapan terima kasih kepada pihak polis yang berjaya mengawal insiden malam tadi dengan sebaiknya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Malam tadi, aksi antara Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak tercemar apabila berlakunya insiden pergaduhan pada babak pertama.

Jelas Bobie, pihaknya dimaklumkan seramai empat orang berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa.

Ditanya mengenai denda yang bakal diterima daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) susulan insiden panas itu, beliau akui Perak FC tidak mempunyai pilihan dan perlu berhadapan dengan sebarang keputusan pihak penganjur liga.

"Kita sedia hadapi apa-apa hukuman kerana ia berlaku di stadium kita dan menjadi tanggungjawab kita.

"Saya tak tahu apa bentuk hukuman, sebab isu tahun lepas di Kota Bharu ketika menentang Kelantan FC pun tak selesai lagi," katanya.

Musim lalu, penyokong Perak FC juga didakwa memulakan provokasi terhadap penyokong Kelantan FC ketika aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV hingga berlakunya pergaduhan selepas perlawanan berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 1:35 PM