PERGADUHAN yang berlaku antara penyokong Perak dan Selangor. -FOTO Mediasosial
PERGADUHAN yang berlaku antara penyokong Perak dan Selangor. -FOTO Mediasosial
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor 'bangsat' antara perkataan provokasi yang dimulakan segelintir penyokong tegar Perak FC di luar Stadium Perak beberapa jam sebelum sepak mula antara skuad The Bos Gaurus dan Selangor FC ditiupkan pada jam 9 malam tadi.

Jelas Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid, insiden pergaduhan di dalam stadium ketika aksi kedua-dua pasukan berlangsung sebenarnya bermula pada sebelah petang sebaik sahaja penyokong pelawat hadir di perkarangan venue berkenaan.

Katanya, beberapa jam sebelum aksi bermula penyokong skuad Merah Kuning yang menyanyikan lagu dan memukul gendang cuba dihalang masuk oleh penyokong tuan rumah sambil melontarkan kata-kata kesat kepada penyokong pelawat.

"Sebenarnya insiden itu dah bermula pada sebelah petang lagi. Kami (penyokong) yang hampir 1,000 lebih dihalang masuk oleh segelintir penyokong tuan rumah dan dari situlah bermulanya provokasi.

"Bila dah masuk stadium, provokasi itu berterusan sehinggalah berlakunya insiden pergaduhan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujarnya lagi, tindakan tidak bertamadun segelintir penyokong Perak itu tidak seharusnya berlaku kerana ia sebenarnya mengancam keselamatan kanak-kanak dan wanita yang datang.

"Macam saya dan kawan-kawan lain mungkin dah biasa berdepan situasi seperti ini, tapi ia tidak baik untuk kanak-kanak dan keluarga yang datang.

"Bayangkan kalau botol yang dibaling itu terkena kanak-kanak macam mana. Ini soal keselamatan dan kita tak boleh biarkan, saya ada tindakan serius dari pihak berwajib agar perkara sama tidak berulang lagi," kata Faizal.

Sementara itu, Setiausaha kehormat Persatuan Penyokong Bolasepak Perak, Hakimi Abd Halim pula menyalahkan pihak berkuasa yang dilihatnya lambat bertindak, membiarpun sudah menjangkakan ia akan berlaku.

"Kalau ikutkan kedua-dua penyokong babitkan Casual Perak dan Casual Selangor yang bergaduh. Saya saksi melihat insiden itu di dalam stadium…casual Selangor buat provokasi kepada penyokong tuan rumah.

"Memang betul pada sebelah petang ada penyokong (penyokong tuan rumah) halang pihak (penyokong) Selangor, tapi patutnya pihak berkuasa bertindak awal.

"Jangan lah dah bergaduh baru nak bertindak. Patutnya sempadan antara penyokong itu perlu penambahan pihak polis atau FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) tapi tak cukup nak halang daripada bergaduh," kata Hakimi yang turut mempertikaikan mengapa hanya penyokong Casual Perak sahaja ditangkap pihak polis.

Sebelum itu, aksi Liga Super antara Perak FC dan Selangor FC dicemari insiden pergaduhan membabitkan penyokong pada aksi separuh masa pertama.

Menerusi rakaman video yang tular di laman sosial menyaksikan kejadian berlaku di tempat duduk penyokong dan kelihatan aksi tumbuk-menumbuk antara mereka, sebelum pergaduhan itu berjaya dileraikan pasukan keselamatan.

Difahamkan, pergaduhan antara penyokong tercetus sejak petang apabila tular sebuah video di Twitter @SpskOfficial memperlihatkan kerumunan individu bergasak di hadapan Pusat Akuatik Tuanku Zara berhampiran stadium.

Susulan insiden, kawalan keselamatan dipertingkatkan termasuk polis mengiringi bas pemain selepas perlawanan selesai, selain belasan bas lagi yang membawa penyokong dari Selangor.

Tiada insiden luar jangka yang tercetus selepas perlawanan itu dan keputusan akhir menyaksikan Selangor membenam Perak 4-0.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 1:29 PM