TUNKU Ismail (dua dari kiri) yakin JDT tidak berdepan masalah untuk menerima kehadiran penyokong. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
TUNKU Ismail (dua dari kiri) yakin JDT tidak berdepan masalah untuk menerima kehadiran penyokong. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim amat bersyukur selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memilih Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri diberi kebenaran kemasukan penyokong walaupun dalam skala kecil menyaksikan aksi JDT menentang Melaka United dalam saingan Liga Super, 2 April ini.

Walaupun kehadiran penyokong kemungkinan hanya 10 peratus sekiranya Johor kekal di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun Tunku Ismail tetap menganggap keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) amat dialu-alukan.

"Saya rasa operasi prosedur standard (SOP) mengenai kehadiran penyokong pada 2 April ini akan dipantau oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk beberapa pihak berkuasa akan memainkan peranan masing-masing dan akan memberi kerjasama dengan kelab JDT.

"Jadi kita berkomunikasi betul-betul mengikut SOP yang ditetapkan. Saya akui agak mencabar tapi kita ada stadium yang besar dan tidak berdepan masalah untuk menyusun penyokong mengikut jarak yang ditetapkan oleh MFL. InsyaAllah saya rasa tidak ada masalah.

"Malah kita juga ada marsyal stadium dan mereka akan memainkan peranan. Apapun mereka akan merujuk kepada nasihat PDRM dan KKM beberapa jumlah marsyal stadium diperlukan bagi mengawal selia kehadiran penyokong," kata Tunku Ismail pada sidang media di bilik sidang media, Ibu Pejabat JDT, di sini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengeluarkan kenyataan penyokong dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan dengan kehadiran mengikut SOP berpandukan kawasan PKPB dibenarkan 10 peratus penyokong manakala kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejumlah 25 peratus kapasiti stadium.

Ditanya mengenai pemilihan penyokong yang akan hadir pada aksi JDT menentang Melaka United, 2 April ini, Tunku Ismail menegaskan tiada perbezaan antara pemegang pas atau penyokong tanpa pemegang pas.

Malah katanya, penyokong Boys Of Straits (BOS) juga berpeluang untuk hadir menyaksikan perlawanan itu namun belum ada kata putus sama ada penyokong berkenaan dibenarkan untuk bersorak seperti yang dilakukan sebelum ini.

"Saya tidak tahu sama ada SOP boleh bersorak atau tidak. Jika tidak boleh bersorak maka mereka perlu duduk diam-diam dan sekadar memberi tepukan. Apapun kami akan mengikut cara Liga Jepun (Liga J) yang membenarkan kehadiran penyokong," kata Tunku Ismail .

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 7:52 PM