PAULO Josue. FOTO FB FAM
PAULO Josue. FOTO FB FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue akui agak kecewa selepas melihat dari jauh kekalahan skuad Harimau Malaya di tangan Tajikistan dalam aksi final Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), bulan lalu.

Katanya, pengendali pasukan dari Korae Selatan, Kim Pan-gon sudah membuat analisa tentang kelemahan yang perlu diperbaiki selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan, sekali gus skuad negara bakal tampil lebih bertenaga selepas ini.

Jelasnya, dia sudah tidak sabar untuk membantu pasukan berdepan Kyrgyzstan dalam aksi pertama Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di SNBJ pada Khamis ini.

"Jurulatih sudah berikan analisis mengenai perlawanan menentang Tajikistan dan semua pemain sudah faham apa yang perlu diperbaiki daripada perlawanan itu.

"Kita harus lakukan dengan lebih baik kali ini kerana ini bukan lagi perlawanan persahabatan, saya harap kita akan raih tiga mata pertama," katanya yang terlepas aksi Pestabola Merdeka ekoran demam denggi.

Sementara itu, mengulas mengenai desas desus kemungkinan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Leandro Velazquez bakal direkrut sebagai tonggak naturalisasi negara, Josue yang juga pemain Kuala Lumpur City FC akui teruja dan sedia bergandingan dengan pemain tengah itu.

"Bagi saya sekiranya jurulatih mempunyai pilihan pemain yang lebih banyak, ia adalah bagus untuk skuad kebangsaan. Kita tahu kualiti yang dimiliki oleh Velazquez, dia adalah salah seorang pemain tengah terbaik di negara ini.

"Jika dia diberi peluang untuk bermain dengan Harimau Malaya, saya tiada masalah dengan itu dan saya rasa ia adalah satu penghormatan untuk bermain di sisinya," katanya.

Selain aksi menentang Kyrgyzstan, anak buah Pan-gon juga dijadual terbang ke Taiwan bagi mengharungi aksi kedua di tempat lawan pada 21 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 3:02 PM