PENGURUS United, Erik ten Hag. FOTO FB United
PENGURUS United, Erik ten Hag. FOTO FB United
Agensi

Manchester: Penyokong Manchester United mencemuh anak buah Erik ten Hag selepas kekalahan memalukan kepada Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, malam tadi.

Kekalahan 1-0 itu nyata tidak boleh diterima penyokong Red Devils dan Ten Hag selaku pengurus pasukan mengambil tanggungjawab serta menerima cemuhan itu.

Keputusan kekalahan 1-0 itu adalah yang keempat dalam tujuh aksi EPL musim ini dan ia menyamai rekod memalukan pada tahun 1989 yang hampir menyebabkan Alex Ferguson dipecat.

"Saya faham. Kami bermain di laman sendiri dan menentang Crystal Palace, kami perlu menang. Saya sedar setiap perlawanan Liga Perdana Inggeris adalah sukar.

"Anda perlu menampilkan aksi terbaik dan saya faham penyokong mahukannya. Ia permulaan yang buruk dan kami perlu bangkit.

"Kami perlu lakukan lebih baik. Ini masih belum mencukupi," kata pengendali dari Belanda itu.

Dalam aksi itu, jaringan tunggal Joachim Andersen di minit 28 sudah cukup untuk memberikan kemenangan buat skuad kendalian Roy Hodgson di Old Trafford.

"Ia keputusan kegemaran saya ketika ini, tetapi mungkin akan ada yang lain lagi. Pujian buat pemain, terutama selepas malam Selasa yang mengecewakan," kata Hodgson.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 10:25 AM