REAKSI kecewa pemain United Casemiro (kiri) dan  Diogo Dalot selepas tamat perlawanan menentang Palace.
REAKSI kecewa pemain United Casemiro (kiri) dan Diogo Dalot selepas tamat perlawanan menentang Palace.
Agensi

London: Manchester United mencipta rekod terbaru tidak diingini susulan kekalahan besar 0-4 di Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi hari ini yang sekali gus meningkatkan tekanan ke atas pengurus Erik ten Hag.

Michael Olise (dua gol), Jean-Philippe Mateta dan Tyrick Mitchell meledak jaringan Palace yang kali pertama meraih kemenangan berganda ke atas Red Devils.

Kekalahan itu menyebabkan skuad Ten Hag menduduki tangga kelapan dengan hanya mengumpul 54 mata dan menyaksikan United mencipta rekod terbaru yang memalukan.

Buat kali pertama dalam sejarah, Man United tewas 13 perlawanan dalam satu musim EPL.

Mereka tewas 13 daripada 35 aksi liga musim ini termasuk kekalahan di tangan Manchester City, Arsenal, Tottenham, Newcastle United dan Brighton.

United akan berdepan Arsenal, Newcastle dan Brighton pada baki tiga perlawanan terakhir liga sebelum musim berakhir.

Sepanjang semua kejohanan musim ini, mereka tewas 18 perlawanan, rekod terburuk dalam semusim sejak 1977/78.

Malah, United turut melepaskan 81 gol dalam semua kejohanan yang juga paling banyak dalam sejarah kelab sejak 1976/77.

Mereka hanya menang satu aksi liga sejak April lalu iaitu 4-2 ke atas kelab kerdil Sheffield United.

Man United akan kembali meneruskan kempen musim mengecewakan dengan menentang pendahulu liga Arsenal pada Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 3:24 PM