RONALDO (dua dari kanan) kelihatan kecewa berada di bangku simpanan ketika United kecundang 3-6 di tangan City, Ahad lalu. FOTO EPA
RONALDO (dua dari kanan) kelihatan kecewa berada di bangku simpanan ketika United kecundang 3-6 di tangan City, Ahad lalu. FOTO EPA
Agensi

Manchester: Erik ten Hag tidak akan menghalang Cristiano Ronaldo untuk meninggalkan Manchester United pada jendela perpindahan Januari depan, kata sumber.

Bintang berusia 37 tahun itu mahu meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas lalu, tetapi gagal berbuat demikian sekalipun pelbagai usaha dilakukan ejen, Jorge Mendes.

Ia kemudian menyaksikan Ronaldo menjadi pemanas bangku simpanan bagi Red Devils, apabila Ten Hag hanya menurunkannya dua kali dalam kesebelasan utama termasuk ketika kekalahan memalukan 0-4 di Brentford pada 13 Ogos - yang juga kali pertama dia bermula dalam tujuh aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.

Sebelum ini, pengendali dari Belanda itu bertegas mahu menggunakan khidmat pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or itu bagi membantu kempennya di kerusi panas di Old Trafford.

Kini, walaupun Ten Hag mungkin tidak akan menyekat langkah Ronaldo yang mahu meninggalkan pasukan pada Januari depan, menurut laporan the Telegraph.

Kapten Portugal itu yang menyatakan dia akan terus kekal profesional berharap prestasi hebat di Piala Dunia di Qatar, November depan, akan menarik kelab beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) untuk menandatanganinya apabila jendela perpindahan dibuka sebaik kempen Qatar 2022 itu berakhir.

Jika tawaran sesuai diterima, dipercayai pihak atasan Old Trafford akan mengucapkan selamat tinggal kepada legenda jersi No 7 itu kurang 18 bulan selepas dia kembali semula ke Manchester.

Ronaldo dilihat kecewa apabila diletakkan di bangku simpanan ketika United kecundang 3-6 kepada Manchester City pada aksi EPL, Ahad lalu.

Walaupun berpeluang memasukkan lima pemain gantian, Ten Hag tidak memilih Ronaldo dengan alasan menghormati karier hebatnya apabila mereka ketinggalan dengan jumlah jaringan besar.

Kekalahan itu menyebabkan dua legenda United, Roy Keane dan Rio Ferdinand menyokong bekas rakan sepasukannya itu diberi peluang selepas hanya menjaringkan satu gol musim ini menerusi sepakan penalti ketika menentang kelab kerdil Moldovan, FC Sheriff pada aksi Liga Europa.

Keane mendakwa Ten Hag tidak menghormati Ronaldo dan memberi amaran bahawa situasi akan menjadi lebih buruk dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 11:40 AM