PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag. FOTO Agensi
PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag. FOTO Agensi

Agensi

London: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag mengharapkan kepulangan segera tiga pemain utamanya menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Crystal Palace di Old Trafford, malam esok.

Jelas Ten Hag, tiga trio berkenaan iaitu Sergio Reguilon, Christian Eriksen dan Scott McTominay sudah pulih daripada masalah kesihatan untuk diturunkan dalam aksi itu nanti.

Sebelum ini, ketiga-tiga pemain itu tidak bermain dalam aksi bertemu Crystal Palace dalam saingan Piala Liga yang menyaksikan United menang selesa 3-0 pada Selasa lalu.

Kali terakhir ketiga-tiga pemain itu beraksi pada hujung minggu lalu berdepan Burnley sebelum mereka diketepikan bagi mengelak penularan penyakit ke dalam pasukan seperti mana yang terdapat dalam protokol peraturan kelab itu.

Reguilon dilaporkan mengalami masalah kesihatan sebelum kemenangan ke atas Burnley itu, tetapi meminta untuk bermain dan berjaya mengharungi 79 minit sebelum dia digantikan oleh Raphael Varane.

Sementara itu, Eriksen dan McTominay sepatutnya bermain menentang Palace dalam Piala Liga namun kemudiannya diketepikan selepas tidak berasa selesa dan akhirnya terlepas aksi itu.

Jurang empat hari antara perlawanan Selasa dan esok dijangka memberikan masa pemulihan yang mencukupi untuk ketiga-tiga mereka.

Untuk rekod, Reguilon sudah membuat tiga penampilan sejak menyertai United secara pinjaman dari Tottenham ketika pasukan itu sedang berdepan krisis kecederaan serius di posisi bek kiri.

Luke Shaw dan Tyrell Malacia serta pertahanan kanan Aaron Wan-Bissaka kekal masih belum lagi dapat menyertai pasukan dan ini bermakna, Reguilon dijangka berada dalam perancangan Ten Hag.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 8:48 AM