PEMAIN Selangor FC meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN Selangor FC meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) 'menangis' di laman sendiri selepas dibelasah Selangor FC 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini.

Dengan kemenangan itu, Selangor FC kekal di kedudukan kedua liga mengutip 52 mata manakala TFC keenam dengan 35 mata dan kekalahan itu adalah yang pertama selepas lebih tiga bulan TFC mempertahankan rekod tanpa tewas dalam saingan liga, Piala Malaysia dan Piala AFC.

Terdahulu aksi serba tidak menjadi skuad Penyu dengan hanya dua percubaan tepat pada babak pertama jelas membosankan hampir 7,500 peminat yang hadir menyaksikan pertembungan kali keempat musim ini dengan skuad Gergasi Merah itu termasuk dalam saingan Piala Malaysia.

Rombakan lima pemain yang dilakukan pengendali skuad Penyu, Tomislav Steinbruckner termasuk penjaga gol dan penyerang menyaksikan corak permainan skuad itu bertukar sehingga '360' pada babak pertama dengan penguasaan menjadi milik pasukan pelawat.

Pada perlawanan itu, skuad pelawat kendalian Tan Cheng Hoe mendapat gol pertama pada minit kelapan menerusi bekas pemain TFC musim lalu, Faisal Halim, namun tuan rumah bernasib baik selepas jaringan itu dibatalkan pengadil, Ahmad Zuhadi Dzulkifli kerana dikesan ofsaid.

Pada minit ke-21, TFC berpeluang untuk memimpin perlawanan menerusi rembatan dari luar kotak penalti Nurillo Tukhtasinov, bagaimanapun penjaga gol, Samuel Somerville lebih bersedia menepis bola berkenaan.

Usaha berterusan pelawat akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-26 apabila Yohandry Orozco yang mendapat bola daripada rakan sepasukannya, Alexander Ameyaw merembat kencang dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim untuk pasukannya mendahului 1-0.

Pada minit ke-41, Orozco sekali lagi mencetak namanya sebagai penjaring apabila mudah menggelecek pertahanan sebelum menolak masuk bola ke dalam gawang selepas rembatan Mukhairi Ajmal Mahadi muntah daripada dakapan penjaga gol untuk pasukannya mendahului 2-0.

Sedar ketinggalan dua jaringan, Steinbruckner memasukkan penyerang utamanya, Ivan Mamut dan pertahanan, Muhammad Alif Zakaria bagi menggantikan Mohd Nor Hakim Hassan dan Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni pada babak kedua, namun masih buntu mencari gol.

Sebaliknya pelawat menerusi Faisal sekali lagi berjaya 'menutup mulut' penyokong tuan rumah pada minit ke-51 apabila meledak gol ketiga selepas menerima bola hantaran lintang Mukhairi untuk pasukannya mendahului 3-0.

Pemain gantian, Muhammad Aliff Izwan Yuslan menambah derita tuan rumah apabila meledak gol kempat pasukannya pada minit ke-80 dengan keputusan muktamad 4-0 memihak kepada Selangor FC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 11:11 PM