PEMAIN TFC meraikan jaringan gol pada perlawanan peringkat Kumpulan Piala Malaysia menentang Perak FC, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN TFC meraikan jaringan gol pada perlawanan peringkat Kumpulan Piala Malaysia menentang Perak FC, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) mengesahkan tempat ke suku akhir saingan Piala Malaysia selepas berpesta gol menewaskan Perak FC 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Pada aksi keempat itu, skuad kendalian Nafuzi Zain berjaya mengekalkan rekod bersih sekali gus mengutip 12 mata untuk terus memimpin carta Kumpulan B dengan baki dua perlawanan lagi menentang Selangor FC dan Kuching City FC (KCFC) di tempat lawan.

Manakala skuad The Bos Gaurus yang sudah tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan selepas menghuni di kedudukan kedua tercorot Liga Super musim ini boleh mengucapkan selamat tinggal dalam saingan piala berprestij itu sesudah hanya mengumpul satu mata daripada empat perlawanan setakat ini.

Berbekalkan sorakan padu 4,200 peminat setia, tuan rumah yang impikan slot ke pentas Piala AFC musim depan bermula garang dengan percubaan pertama menerusi pemain import kelahiran Mali, Makan Konate pada minit kelapan yang berjaya diselamatkan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam.

Selepas terlepas peluang pertama itu, Konate tidak mensia-siakan peluang kedua apabila meledak gol pendahuluan pasukannya pada minit ke-13 menerusi rembatan kencang dari jarak kira-kira 30 meter sesudah mendapat umpanan daripada Faisal Halim bermula situasi sepakan percuma.

Pada minit ke-19, penyerang kelahiran Brazil, David Da Silva berjaya meledak gol kedua pasukannya selepas bijak menyambar bola hantaran lintang Faisal di sebelah kanan pintu gol pelawat untuk mendahului 2-0.

Selepas jaringan itu, skuad tuan rumah kendalian dilihat kian bernafsu apabila mendapat gol ketiga menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti pemain kelahiran Ivory Coast, Dechi Marcel untuk mengukuhkan kedudukan 3-0.

Skuad pelawat yang lebih banyak bertahan sesekali mencuba untuk meledak gol, namun kekentalan barisan pertahanan tuan rumah menggagalkan usaha skuad kendalian penolong jurulatih, Mohd Shahril Nizam Khalil.

Sepanjang babak pertama, hanya satu percubaan menarik diperolehi skuad The Bos Gaurus itu menerusi rembatan jarak jauh pemain tengah, Royizzat Daud pada minit ke-29 yang berjaya ditampan penjaga gol, Mohd Shamirza Yusoff, selebihnya gagal mendapat ilham untuk merobek kubu tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Faisal terlepas peluang untuk menambah jaringan pasukannya selepas bola tolakannya melepasi palang gol walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol.

Namun sepakan penalti yang diperoleh TFC selepas Konate dijatuhkan Mohamad Aizat Safuan pada minit ke-61 mudah disempurnakan Faisal untuk jaringan keempat pasukannya sekali gus menyaksikan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 11:18 PM