GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis akan membuat permohonan OTI (Order to Investigation) kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi merakam percakapan pelakon lelaki yang didakwa memukul teman wanitanya dalam kejadian di Petaling Jaya di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar@Ismail berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah dengan TPR untuk memanggil suspek bagi dirakam percakapan.

"Ya, kita dapatkan dulu perintah untuk menyiasat daripada TPR.

"Kita akan panggil pelakon berkenaan selepas dapat kebenaran menyiasat berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang wanita dibelasah teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.

Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara kira-kira jam 4 pagi.

Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya sebelum dimarahi dan lelaki itu terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 3:29 PM