HAALAND dan Aitana bersama trofi masing-masing di Monaco. FOTO AFP
HAALAND dan Aitana bersama trofi masing-masing di Monaco. FOTO AFP
Reuters

Monaco: Penyerang Manchester City Erling Haaland dan pengurus Pep Guardiola memenangi anugerah Uefa untuk kategori pemain dan jurulatih lelaki terbaik tahunan awal pagi tadi.

Bintang Norway Haaland mengatasi rakan sepasukan Kevin De Bruyne dan pemenang Piala Dunia 2022 Lionel Messi selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika membantu City menjuarai tiga trofi, Liga Juara-Juara (UCL), Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA.

Pemain berusia 22 tahun itu yang Isnin lalu dipilih Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional England (PFA) meledak 52 gol dalam 53 perlawanan semua kejohanan musim lalu.

"Saya memenangi tiga trofi pada usia 22 tahun dan ia seperti mimpi bagi saya," katanya ketika menerima anugerah di Monaco.

"Musim ini saya akan cuba mengekalkan momentum. Ramai yang fokus kepada saya dan pasukan selepas kami memenangi Liga Juara-Juara. Oleh itu kami perlu lebih tajam dan lebih bersedia."

Guardiola pula mengatasi cabaran pengendali dari Itali Luciano Spalletti yang membawa Napoli meraih gelaran Serie A pertama mereka dalam tempoh 33 tahun dan and Simone Inzaghi yang kelabnya Inter Milan muncul naib juara UCL serta memenangi Piala Itali.

Pengurus dari Sepanyol itu tidak hadir untuk menerima trofi susulan masih dalam proses pemulihan pembedahan bahagian belakang.

Dalam kategori wanita, pengurus England Sarina Wiegman dinobatkan Jurulatih Wanita Terbaik Tahunan selepas membawa Lionesses ke final Piala Dunia manakala pemenang Piala Dunia dari Sepanyol Aitana Bonmati dipilih pemain terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 7:20 AM