HARRY Kane.
HARRY Kane.
AFP

Munich, Jerman: Pengurus Tottenham, Ange Postecoglou mengesahkan ketua pasukan England, Harry Kane sudah berada di Jerman bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum menandatangani kontrak dengan kelab baharunya itu.

Jelas Postecoglou, Kane diberikan lampu hijau untuk terbang ke Jerman bagi melengkapkan proses perpindahan yang bakal memecahkan rekod kelab Bundesliga itu.

Nilai yang dipersetujui antara kedua-dua kelab dilaporkan 86 juta pound (RM497.31 juta) ketika kontrak Kane bersama Spurs hanya berbaki semusim.

Menurut Postecoglou lagi, beliau kini terpaksa melupakan khidmat Kane dan perlu memikirkan perancangan baharu bagi memastikan kelab mampu bersaing di Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan baik.

"Saya difahamkan, perbincangan antara kami dan Bayern berjalan lancar dan kami bakal kehilangan Kane selepas ini.

"Sekurang-kurangnya dengan perkembangan terbaharu itu, kami dapat gambaran lebih jelas tentang pasukan di mana kami perlu memandang ke depan tanpa Kane.

"Kami akan terus berusaha meningkatkan tahap permainan kami dan kelibat Kane nampaknya tidak lagi bersama pasukan ini," katanya.

Untuk rekod, Kane meledak 280 gol dalam 43 penampilan untuk Spurs dan turut memegang rekod penjaring terbanyak England dengan 58 gol.

Dia masih ketinggalan 47 gol di belakang Alan Shearer yang menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris pada 260 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 9:59 AM