MIKEL Arteta. FOTO AFP
MIKEL Arteta. FOTO AFP
Agensi

London: Arsenal berharap dapat mengumpul dana bagi menandatangani pemain tengah baharu tetapi perlu melepaskan beberapa pemain penting dalam skuad jika hendak berbuat demikian.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta sudah berbelanja besar pada musim panas ini ketika beliau berusaha membentuk pasukan mantap sekali gus cuba mengecewakan juara bertahan, Manchester City pada musim baharu.

The Gunners sudah melabur banyak dengan pembelian Declan Rice bernilai £100 juta (RM457.9 juta), manakala Kai Havertz tiba dari Chelsea dengan harga £65 juta (RM297.6 juta) dan Jurrien Timber berhijrah dari Ajax dengan bayaran £40 juta (RM183.1 juta).

Dengan lebih £200 juta (RM915.7 juta) dibelanjakan untuk menguatkan skuadnya, Arteta sedar beliau perlu melepaskan beberapa pemain bintangnya jika mahu membawa masuk pemain tengah baharu.

The Independent mendakwa seorang lagi pemain tengah bertahan berada dalam sasaran Arteta dengan masa depan Jorginho serta Thomas Partey masih belum jelas.

Arteta dipercayai berminat untuk mendapatkan pemain tengah Southampton, Romeo Lavia dengan Liverpool dan Chelsea kini mengetuai perlumbaan untuk mendapatkan bekas bintang akademi Man City itu.

Pemain Ghana itu dikaitkan dengan perpindahan dari Liga Perdana apabila menjadi sasaran kelab di Itali dan Arab Saudi, yang dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya.

Jorginho mungkin salah seorang pemain yang boleh membantu memenuhi impian Arteta itu walaupun baru menyertai Arenal, Januari lalu.

Pemain Itali itu dikatakan berminat untuk berhijrah ke kelab gergasi Turki, Fenerbahce pada musim panas ini tetapi bayaran untuk pemain berusia 31 tahun itu mungkin tidak tinggi berbanding Partey.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 11:22 AM