PARTEY menamatkan teka-teki akhirnya berhijrah ke Emirates. FOTO AFP
PARTEY menamatkan teka-teki akhirnya berhijrah ke Emirates. FOTO AFP
AFP

London: Menyedari perlu mencari pemain yang mampu membantu bahagian pertahanan, Arsenal menandatangani pemain tengah bertahan Thomas Partey dari Atletico Madrid.

The Gunners melakukan pembelian terbesar pada tarikh tutup pasaran perpindahan hari ini dengan membayar klausa pelepasan pemain kelahiran Ghana itu sebanyak €50 juta (RM244.78 juta).

Partey sudah lama menjadi buruan The Gunners, yang mahu menambah lebih banyak pilihan di bahagian tengah.

"Kami sudah melihat Thomas sejak sekian lama, jadi kami gembira untuk menambah pemain dengan kualiti tinggi ke dalam skuad.

"Dia pemain dinamik dengan kekuatan yang baik. Dia membawa banyak pengalaman daripada kelab utama yang bersaing pada tahap tertinggi di La Liga dan Liga Juara-Juara untuk beberapa tahun," kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

Sementara itu, pemain antarabangsa Uruguay, Lucas Torreira meninggalkan Arsenal ke Atletico menerusi pinjaman selama setahun.

"La Liga mengesahkan kepada Atletico Madrid pada jam 11.28 malam Isnin wakil Arsenal membayar klausa pelepasan Thomas Partey di ibu pejabat persatuan itu.

"Justeru pemain itu sudah menamatkan kontraknya dengan kelab kami yang berbaki hingga Jun 30, 2023," kata kelab Sepanyol itu dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 8:18 AM