FIRDAUS Mohamed menendang bola sebagai simbolik perasmian Klinik Bolasepak Percuma anjuran SCFA, di Cheras Perdana, di Kajang, hujung minggu lalu. -FOTO SCFA
FIRDAUS Mohamed menendang bola sebagai simbolik perasmian Klinik Bolasepak Percuma anjuran SCFA, di Cheras Perdana, di Kajang, hujung minggu lalu. -FOTO SCFA
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jika ada akademik bola sepak patuh syariah, maka Akademi Bolasepak Soccer City (SCFA) mungkin antara yang pertama di Malaysia ketika ini.

Menurut pengasas SCFA, Muhamad Nur Aiman Omran, antara kelainan yang ditekankan di akademinya adalah penggunaan pakaian yang menutup aurat di kalangan pemainnya.

Malah, setiap pemain yang berdaftar dengan akademi itu turut akan menerima seluar 'tight' panjang berserta dua set helai baju latihan, seluar dan stokin bagi kegunaan pelatih.

"Mungkin kelainan yang ada kita nak pemain memakai seluar 'tight' di mana kita tekankan juga elemen patuh syariah dalam proses latihan kita," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

SCFA yang baru dilancarkan pada hujung minggu lalu di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Perdana berjaya menarik minat hampir 282 pemain hadir ke Klinik Bolasepak Percuma anjuran SCFA, Sabtu lalu.

Malah, Klinik itu turut dihangatkan dengan kehadiran Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd Firdaus Mohamed yang merasmikan program itu.

Anjuran itu menyaksikan sambutan cukup hangat di kalangan pemain dari usia 6 hingga 15 tahun babitkan beberapa pemain dari kawasan Kajang, Semenyih, Hulu Langat dan Serdang.

"Misi utama kami sudah tentu nak bantu lahirkan pemain remaja berbakat untuk disalurkan ke peringkat tertinggi hingga mewakili negara," katanya.

Sementara itu, Firdaus Mohamed akui gembira melihat sambutan cukup meriah dan berharap ia dapat beri manfaat buat pelatih untuk menimba ilmu bola sepak sebenar.

"Saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya buat SCFA. Moga dapat lahirkan pemain masa depan buat negeri, kelab dan negara," kata Firdaus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 12:48 PM