PEMAIN  KDA FC Jonathan Boareto Dos Reis (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Syaharim Abidin
PEMAIN KDA FC Jonathan Boareto Dos Reis (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Syaharim Abidin
Izzali Ismail

Alor Setar: Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain melahirkan rasa kecewa apabila Sang Kenari gagal bangkit untuk mendapatkan kemenangan ketika tewas 2-3 kepada Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Darul Aman semalam.

Menurut Nafuzi, keyakinan dan kesungguhan pemainnya tidak berada pada tahap sepatutnya sehingga memaksa Sang Kenari beraksi dalam keadaan tertekan.

"Menjaringkan gol begitu sukar dan melepaskan gol semudah itu saja, dan kita sukar bermain dengan KL City pada perlawanan ini kerana semangat KL City tunjukkan lebih baik daripada kita.

"Kita bolos gol terlalu awal dan bermain dalam tekanan dengan barisan pertahanan melakukan kesilapan hingga KL City dapat menghasilkan gol di awal perlawanan.

"Kita tidak cukup bagus pada malam ini walaupun mencuba untuk mendapatkan gol, tetapi dari segi usaha, keberanian dan tahap keyakinan, saya lihat kami agak kurang di situ," katanya pada sidang media selepas perlawanan semalam.

Nafuzi turut kecewa dan mengakui skuadnya seolah mengulangi episod sama apabila dibolosi dengan mudah pada awal babak pertama dan kedua sepertimana aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) yang lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 2:29 PM