ALIFF Izwan janji skuad B-23 berikan aksi terbaik. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
ALIFF Izwan janji skuad B-23 berikan aksi terbaik. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Motivasi barisan pemain skuad bawah 23 (B-23) tahun negara yang bakal memulakan kempen Kejuaraan AFF B-23 di Rayong, Thailand pada tahap terbaik, malah rata-rata yakin mampu mencapai sasaran ke final kali ini.

Antara yang menyuarakan keyakinan itu adalah penyerang utama pasukan, Aliff Izwan Yuslan yang akui skuad kendalian E Elavarasan memiliki ramuan terbaik di saingan itu.

Katanya, selepas dikecewakan di temasya Sukan Sea di Kemboja Mei lalu, beberapa perubahan sudah dilakukan bagi memantapkan permainan pasukan.

"Sudah semesti kita sasarkan juara, tapi itu rezeki kita. InsyaAllah kalau kita berjuang sehabis baik, kita akan dapat apa yang kita nak, InsyaAllah," kata pemain muda Selangor FC itu.

Nada sama diluahkan tonggak pertahanan pasukan B-23, Ubaidullah Shamsul Fazili yang menganggap sasaran untuk ke final adalah realistik.

"Pemain baharu pun ada kualiti tersendiri dan saya perlu memberikan saingan yang sihat dalam skuad kali ini. Bagi saya setiap kejohanan kami akan cuba untuk muncul juara.

"(Sasaran) memang realistik sebab kami cuba yang terbaik walaupun persiapan singkat. Namun ini satu cabaran untuk kami dan kami akan sahut cabaran dengan positif," kata Ubaidullah yang juga pemain Terengganu FC.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran untuk ke final di saingan B-23 di Bangkok itu.

Sasaran itu dinyatakan pengurus skuad B-23, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang akui pasukan negara itu mampu memberikan saingan sengit dalam usaha mencipta keputusan positif di pentas itu.

Skuad negara bakal memulakan kempen Kumpulan B menentang Indonesia malam esok, sebelum turun pada aksi terakhir bertemu Timor Leste, Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 7:54 PM