ANTARA aksi Malaysia menentang Vietnam semalam. FOTO FAM
ANTARA aksi Malaysia menentang Vietnam semalam. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kesilapan barisan pertahanan hingga dibolosi empat gol punca kekalahan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara yang tewas 1-4 kepada Vietnam dalam aksi separuh akhir Kejuaraan AFF B-23 di Stadium Rayong, di Thailand, semalam.

Jelas pengendali negara, E Elavarasan, barisan pemain terutama di bahagian pertahanan banyak melakukan kesilapan mudah yang akhirnya memakan diri.

Katanya, anak didiknya tidak bermain seperti dirancang terutama di babak pertama.

"Saya berasakan separuh masa pertama kita tidak beraksi dengan efektif, cara permainan kami tidak seperti mana dirancang.

"Banyak kesilapandilakukan di bahagian pertahanan, bolos dengan jaringan tiga pada separuh masa pertama memberi kelebihan buat Vietnam," katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Kekalahan itu bukan saja meranapkan impian untuk mata ke final, malah ia juga memadamkan rekod bersih di peringkat kumpulan selepas Malaysia mencatat dua kemenangan 100 peratus ke atas Indonesia dan Timor Leste untuk muncul sebagai juara Kumpulan B.

Elavarasan yang juga penolong jurulatih skuad senior bagaimanapun akui tetap berpuas hati dengan prestasi skuad kendaliannya beraksi di pentas antarabangsa.

"Begitupun, pendedahan kepada pemain di peringkat antarabangsa memberi sedikit perkembangan positif untuk ketahui kualiti setiap pemain, sejauh mana mereka mampu pamerkan," katanya.

Selepas ini, skuad Harimau Muda dijadual bertemu Thailand untuk penentuan tempat ketiga dan keempat yang akan berlangsung di Stadium Rayong, Thailand, petang esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 5:48 PM