KPAH Sherman meraikan jaringannya. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
KPAH Sherman meraikan jaringannya. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Harini Selangor FC menerusi agregat 5-2 pada pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Pada perlawanan kedua itu, skuad kendalian Fandi Ahmad menewaskan kelab M3 itu 2-0 selepas mencatat kemenangan 3-2 pada perlawanan pertama, 4 Ogos lalu.

Dua gol hasil sumbangan penyerang berbisa, Kpah Sherman sudah cukup untuk memastikan skuad Tok Gajah melangkah ke suku akhir piala berprestij itu.

Namun, Sri Pahang yang berbekalkan kemenangan 3-2 pada perlawanan pertama terpaksa menunggu minit ke-42 untuk membolosi gawang Harini Selangor hasil sentuhan Sherman.

Terdahulu, Harini Selangor turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol pendahuluan tetapi Muhd Fikri Mohd Shah yang hanya berdepan penjaga gol tuan rumah, Izham Tarmizi Roslan gagal melakukan penyudah tepat pada minit ke-30.

Dua minit kemudian, rembatan Sergio Aguero hampir meletakkan tuan rumah menjaringkan gol pendahuluan tetapi percubaan kapten pasukan itu berjaya diselamatkan penjaga gol, Hafizul Hakim.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang menggandakan serangan ke kubu lawan dan usaha itu berhasil apabila tidak menunggu lama untuk menambah gol kedua menerusi Sherman pada minit ke-51.

Harini Selangor yang ketinggalan 2-0 berusaha untuk menghasilkan jaringan tetapi jentera pertahanan tuan rumah tenang menyekat percubaan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 7:48 PM