PELETAKAN jawatan Mancini mengejutkan peminat bola sepak Itali.
PELETAKAN jawatan Mancini mengejutkan peminat bola sepak Itali.
AFP

Rome: Roberto Mancini meletak jawatan sebagai jurulatih juara Eropah Itali, menurut Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) hari ini.

FIGC dalam kenyataannya berkata mereka menerima keputusan mengejut Mancini itu lewat malam semalam.

"Memandangkan kepentingan dan komitmen pasukan menghadapi kelayakan Euro 2024 menentang North Macedonia dan Ukraine, FIGC akan mengumumkan jurulatih baharu kebangsaan dalam masa beberapa hari lagi," tambah kenyataan itu lagi.

Mancini dilantik pada Mei 2018 selepas Itali gagal layak ke Piala Dunia 2018 ketika dikendalikan Gian Piero Ventura.

Bekas pemain antarabangsa, Mancini menjuarai Euro 2021 dengan Itali tetapi gagal membawa skuadnya ke Piala Dunia 2022 di Qatar.

Awal bulan ini pengendali berusia 58 tahun itu turut diberi tanggungjawab melatih skuad B-21 dan B-20 Itali.

Media Itali menjangkakan Luciano Spalletti mungkin mengambil alih tugas selepas membantu Napoli menamatkan kemarau gelaran 33 tahun Serie A mereka musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 9:33 PM