MESSI bakal beraksi di saingan akhir Piala Liga. FOTO AFP
MESSI bakal beraksi di saingan akhir Piala Liga. FOTO AFP
AFP

Nashville: Lionel Messi boleh merangkul trofi pertamanya bersama Inter Miami, hanya empat minggu selepas membuat penampilan sulung dengan kelab itu, apabila pasukannya menentang Nashville pada perlawanan akhir Piala Liga di Tennessee pagi esok.

Dia yang merangkul Piala Dunia bersama Argentina memberi impak kepada kelab berkenaan, selepas menjaringkan sembilan gol dalam enam perlawanan, ketika mengharungi kejohanan musim panas baharu, yang turut merangkumi kelab-kelab Liga MX Mexico.

Kini dia berpeluang segera mendapatkan beberapa piala di Amerika Syarikat untuk menambah koleksi trofi yang dikumpulnya bersama Barcelona, Paris Saint Germain dan pasukan kebangsaan Argentina.

"Ia akan menjadi hebat, luar biasa buat saya, peminat, dan kelab itu sendiri. Kelab ini cuba berkembang dan melabur banyak, dengan perubahan besar menyusun satu pasukan dan memenangi gelaran," kata Messi.

"Ia adalah kelab yang sangat baharu...ia pasti cantik untuk semua orang," tambahnya.

Dengan gol daripada Messi dalam setiap perlawanan dan bola sepak menyerang yang terbuka dipamerkan Miami, pemenang Ballon d'Or tujuh kali itu berjaya mengubah pertandingan berkenaan.

Kehadiran bekas rakan sepasukan di Barcelona, Sergio Busquets dan Jordi Alba menjadikan Miami tidak dapat dihalang.

Hanya sekali dalam enam perlawanan dalam kejohanan itu Miami gagal mencatat kemenangan selepas seri 4-4 di Dallas yang berakhir dengan kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti.

Pada separuh akhir, pasukan itu menunjukkan betapa luar biasa peningkatan mereka, dengan menang 4-1 di Philadelphia, naib juara MLS musim lalu yang tidak pernah tewas di tempat sendiri dalam 15 perlawanan terakhir mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 9:26 AM