LIONEL Messi. FOTO USA TODAY Sports
LIONEL Messi. FOTO USA TODAY Sports
AFP

Fort Lauderdale: Lionel Messi memulakan kerjayanya di Amerika dengan menjaringkan gol kemenangan saat terakhir dalam perlawanan sulungnya untuk Inter Miami, awal pagi tadi.

Pada minit keempat masa kecederaan, ketika aksi Piala Liga mementang kelab Mexico terikat 1-1, Messi meledak gol cantik menerusi sepakan percuma dengan menggunakan kaki kirinya.

Stadium DRV PNK Miami yang mempunyai kapasiti 20,000 tempat duduk, tidak dapat menampung kehadiran penyokong dengan ada yang cuba memasuki ke padang sebelum ditahan oleh anggota keselamatan.

Miami dan Major League Soccer berharap kedatangan pemenang Piala Dunia Argentina itu yang turut dilabel pemain terhebat sepanjang zaman akan memberi impak besar kepada sukan itu di Amerika.

Pemain tengah Sepanyol, Sergio Busquets yang juga bekas rakan sepasukan Messi di Barcelona, turut menyerlah pada perlawanan itu selepas dimasukkan pada minit ke-54.

Busquets menunjukkan tahap persefahaman yang baik dengan Messi selepas lebih dua tahun terpisah antara satu sama lain.

"Saya tahu saya perlu menjaringkan gol kerana ketika itu sudah di hujung permainan. Saya mahu menjaringkan gol supaya kami tidak diheret ke penentuan penalti.

"Ia sangat penting bagi kami untuk mendapatkan kemenangan ini. Ia akan memberikan kami keyakinan lebih tinggi untuk menghadapi cabaran selepas ini," kata Messi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 11:37 AM