MESSI ketika sidang media di Stadium DRV PNK, awal pagi tadi.
MESSI ketika sidang media di Stadium DRV PNK, awal pagi tadi.
Reuters

Fort Lauderdale, Amerika Syarikat: Menjuarai Leagues Cup pastinya menakjubkan buat Inter Miami, kata Lionel Messi ketika skuad Major League Soccer (MLS) itu memburu gelaran pertama mereka.

Miami yang ditubuhkan pada 2018 oleh sekumpulan pelabur diketuai bekas kapten England menjadi tajuk akhbar seluruh dunia bulan lalu selepas menandatangani bintang juara Piala Dunia Argentina Messi dari Paris St Germain.

Messi pantas mencipta impak ke atas pasukan tercorot MLS itu apabila meledak gol kesembilannya dalam enam perlawanan kelmarin ketika membelasah Philadelphia Union 4-1 untuk mara ke final Leagues Cup.

"Pastinya cukup istimewa dan menakjubkan kepada saya dan kelab. Memenangi gelaran banyak membantu," kata pemain berusia 36 tahun itu kepada media.

"Kelab ini sangat muda dan meraih gelaran pertama pastinya sangat istimewa kepada semua orang."

Messi akan mengetuai skuadnya pada final menentang Nashville SC Sabtu ini.

"Ketika kemaraan kami dianggap mengejutkan, kami bersedia dan berjuang untuk itu," katanya.

Kelab Miami yang melantik pengendali Argentina Gerardo "Tata" Martino sebagai jurulatih bulan lalu dan menandatangani bekas rakan sepasukan Messi di Barcelona Jordi Alba dan Sergio Busquets layak ke Liga Juara-Juara Concacaf susulan kejayaan di Leagues Cup.

"Prestasi pasukan semakin meningkat sejak kedatangan Tata. Kami sangat gembira mencapai misi beraksi di Liga Juara-Juara Concacaf tahun depan dan mara ke final," kata Messi.

Tiga kelab terbaik Leagues Cup meraih tiket ke Liga Juara-Juara Concacaf dan juara layak automatik ke pusingan 16.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 7:53 AM