MESSI menjadi perancang utama membantu Argentina merangkul Piala Dunia di Qatar. -FOTO AFP
MESSI menjadi perancang utama membantu Argentina merangkul Piala Dunia di Qatar. -FOTO AFP
AFP

Barcelona: Lionel Messi mengumumkan dia akan mengikat perjanjian bersama dengan kelab Major League Soccer (MLS) iaitu Inter Miami dan memilih Amerika Syarikat sebagai destinasi seterusnya berbanding kembali ke Barcelona atau memilih tawaran lumayan dengan bermain di Arab Saudi.

Penyerang Argentina itu, 35, menghabiskan dua musim di Paris Saint-Germain (PSG) bermain perlawanan terakhirnya untuk kelab itu Sabtu lalu, selepas berpindah dari Barcelona pada 2021 di mana dia menghabiskan sebahagian besar kariernya.

MLS dan Inter Miami mengesahkan berita itu di media sosial, walaupun liga Amerika menyatakan "perkara itu hanya akan di memuktamadkan selepas perjanjian rasmi."

"Saya mengambil keputusan bahawa saya akan ke Miami, saya tidak mempunyai (perjanjian) 100 peratus dimeterai atau mungkin ada sesuatu yang perlu dilakukan, tetapi kami memutuskan untuk meneruskan laluan kami ke sana," kata Messi.

"(Saya memutuskan) untuk meninggalkan Eropah...

"Selepas memenangi Piala Dunia dan pergi dari Barca, sudah tiba masanya untuk pergi ke MLS, menjalani bola sepak dengan cara yang berbeza dan lebih menikmati kehidupan harian saya.

"Jelas sekali dengan tanggungjawab dan keinginan yang sama untuk menang dan melakukan sesuatu dengan baik tetapi dengan lebih tenang."

Messi pemenang Ballon d'Or tujuh kali dan dijangka memperoleh anugerah itu sekali lagi selepas membawa Argentina menjulang Piala Dunia di Qatar pada Disember 2022.

Dunia bola sepak tidak sabar menunggu keputusan Messi selepas PSG mengesahkan minggu ini bahawa perancang utama itu yang dianggap sebagai pemain terbaik dalam sejarah bola sepak, akan meninggalkan kelab itu.

Ramai yang mengatakan bahawa dia akan kembali ke Barcelona atau memilih prospek yang lebih menarik dari segi nilai wang di Arab Saudi namun akhirnya Messi memutuskan untuk menyertai MLS dengan Miami, lokasi yang pernah dilawatinya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 7:45 AM