OSIMHEN (kanan) ledak 26 gol dalam saingan Serie A musim lalu.
OSIMHEN (kanan) ledak 26 gol dalam saingan Serie A musim lalu.
Agensi

London: Al Hilal mengenal pasti sasaran penyerang baharu mereka selepas gagal mendapatkan Kylian Mbappe, menurut laporan semalam.

Kelab Liga Pro Saudi itu menawarkan £259 juta (RM1.5 bilion) yang dipersetujui PSG tetapi Mbappe tidak berminat malah enggan bercakap dengan wakil Al Hilal ketika mereka tiba di Paris.

Mabppe didakwa mahu meninggalkan kelab sebagai ejen percuma pada musim panas depan dan menyertai Real Madrid.

Al Hilal pula meneruskan pembelian mega mereka apabila mengumumkan pemain sayap terbaru ditandatangani, Malcom dari Zenit Saint Petersburg. Pemain Brazil itu berpindah dengan yuran dilaporkan €60 juta (RM299 juta).

Namun bukan setakat itu sahaja. Mereka mahu meneruskan pelaburan besar dengan memburu seorang lagi pemain berprofil tinggi.

Menurut Loic Danzi, wartawan L'Equipe, Al Hilal mahu mengalihkan tumpuan mereka kepada bintang Napoli Victor Osimhen selepas terpaksa melupakan Mbappe.

Dalam Twitternya dia berkata: "Selepas gagal mendapatkan Mbappe, Al Hilal pantas menumpukan kepada Victor Osimhen."

Namun perjanjian itu sudah pasti tidak murah.

Manchester United berminat mendapatkan pemain antarabangsa Nigeria itu pada musim panas tetapi mereka tampak sukar mengeluarkan bajet £170 juta (RM989 juta) yang ditetapkan Napoli.

Berdasarkan bidaan Al Hilal untuk mendapatkan Mbappe, Napoli mungkin menetapkan lebih daripada itu untuk menjual Osimhen, antara tonggak penting mereka.

Dia menjaringkan 26 gol dalam 32 aksi liga musim, memenangi Kasut Emas ketika membantu kelabnya meraih gelaran liga kali pertama sejak 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 9:49 AM