MASA depan Mbappe di PSG jadi tanda tanya selepas kehadiran Messi. FOTO AFP
MASA depan Mbappe di PSG jadi tanda tanya selepas kehadiran Messi. FOTO AFP
AFP

Paris: Lionel Messi bergabung kembali dengan bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Neymar untuk melengkapkan barisan serangan bintang di Paris Saint Germain (PSG).

Bagaimanapun, persoalannya sekarang adakah kehadiran bintang Argentina itu akan menjadi faktor Kylian Mbappe meninggalkan gergasi Perancis.

Perancangan PSG adalah meletakkan tiga penyerang beraksi bersama sekali gus mencapai impian mereka untuk memenangi Liga Juara-Juara, namun masa depan jangka panjang Mbappe menjadi keraguan.

Messi menandatangani kontrak dua tahun dengan dilaporkan berjumlah €35 juta (RM175 juta setahun) serta mempunyai pilihan untuk beraksi di musim ketiga.

Mei lalu, Neymar yang berusia 29 tahun, menyambung kontrak dengan kelab berkenaan sehingga 2025.

Berbeza pula dengan Mbappe yang akan tamat kontrak hujung musim ini dan sudah lama menjadi sasaran Real Madrid.

"Tidak mustahil Mbappe. Kehadiran Messi di PSG mengetepikan Mbappe dan membuka jalan buatnya ke Madrid," jelas tajuk utama akhbar harian sukan, AS yang berpangkalan di Madrid.

Bagaimanapun, PSG tidak bercadang untuk menjual Mbappe ataupun melepaskannya secara percuma apabila kontraknya berakhir Jun tahun depan.

"Semua orang tahu bahawa saya sangat sukakan kelab ini. Bagaimanapun, saya mahu merasakan berada di tempat yang saya mampu meraih kemenangan, di mana terdapat tempat yang mampu saya mencapai cita-cita itu," kata Mbappe.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 12:52 PM