STEINBRUCKNER pada aksi LIga Super antara Terengganu FC dan PDRM FC di Stadium MBPK, Kelana Jaya. FOTO FB TFC
STEINBRUCKNER pada aksi LIga Super antara Terengganu FC dan PDRM FC di Stadium MBPK, Kelana Jaya. FOTO FB TFC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur:Pengendali Terengganu FC Tomislav Steinbruckner mempersoalkan beberapa keputusan pengadil hingga menyebabkan pasukannya gagal membawa pulang tiga mata pada perlawanan menentang PDRM FC malam tadi.

Steinbruckner berkata, Terengganu FC sepatutnya diberikan penalti apabila terdapat kekasaran berlaku dalam kotak penalti lawan namun dinafikan oleh pengadil perlawanan.

"Saya sendiri berharap dapat melihat kembali ulang tanya beberapa percubaan yang dilakukan kerana kita dapat lihat mereka akan ulang sebanyak lima kali untuk gol tapi untuk situasi bahaya mereka tidak tunjuk.

"Saya mahu melihat ulang tayang situasi itu kerana merasakan ia adalah penalti dan jika itu bukan penalti, saya tak tahu nak cakap apa lagi," katanya.

Pada perlawanan malam tadi menyaksikan PDRM FC cukup sukar ditumpaskan sekali gus mencatatkan keputusan seri 0-0 bertemu Terengganu FC pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ternyata keampuhan benteng PDRM FC yang ditunjangi kapten pasukan James Okwuosa, Aliff Najmi Shaaini dan Alif Naquiddin Mohd Shouffi cukup sukar dibolosi barisan serangan Terengganu FC untuk mencetak sekurang-kurangnya satu gol sekali gus keputusan kekal hingga tamat perlawanan.

Selain itu, Steinbruckner turut mempersoalkan keputusan pengadil yang hanya memberikan masa tambahan selama tiga minit sahaja.

"Anda rasa tiga minit sahaja? Kita boleh lihat kedua-dua pasukan melakukan tiga pertukaran pemain dan itu sahaja sudah tiga minit. Bagaimanapun pula dengan situasi yang mana perlawanan terpaksa dihentikan kerana pemain perlukan rawatan? Saya rasa masa tambahan yang diberikan tidak cukup," Katanya.

Sementara itu, melihat kepada kepincangan di beberapa bahagian menyebabkan Steinbruckner mengambil keputusan akan membawa masuk pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan.

"Saya tidak mahu seorang sahaja pemain baru tapi mahu individu yang dapat bantu perkuatkan pasukan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 2:53 PM