AKSI AZIM pada perlawanan malam tadi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
AKSI AZIM pada perlawanan malam tadi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas cemerlang menafikan deretan peluang Terengganu FC (TFC) pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi, penjaga gol muda Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin idam untuk beraksi di pentas final bagi merebut trofi itu pada 22 Julai ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Jelas penjaga gol ketiga skuad The City Boys itu, dia tekad berusaha lebih keras untuk merebut peluang itu walaupun sedar pesaingnya, Muhammad Azri Abdul Ghani yang juga penjaga gol skuad kebangsaan juga idam memburu posisi sama sebagai penjaga gol utama pasukan.

Bagaimanapun pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan itu menyerahkan kepada barisan kejurulatihan untuk menentukan siapa yang bakal memikul tanggungjawab itu untuk berdepan sama ada Johor Darul Ta'zim (JDT) atau Selangor FC pada aksi final nanti.

"Ini adalah peluang terbaik saya untuk membuat penampilan pertama pada aksi final Piala FA nanti, Insya-Allah jika diamanahkan saya akan cuba yang terbaik buat pasukan untuk memburu kejuaraan.

"Namun saya sedar ianya bukan tugas mudah lebih-lebih lagi saya masih kurang pengalaman di pentas tertinggi, tapi jika peluang itu hadir, ianya pasti detik bersejarah buat diri sepanjang karier saya setakat ini," jelas pemain kelahiran Kuala Lumpur itu ketika ditemui selepas tamat perlawanan itu.

Pada perlawanan itu, Azim cemerlang menafikan tidak kurang lima percubaan tepat skuad Penyu, kemuncak dia berjaya menghalang dua sepakan penalti lawan selepas perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang menyaksikan skuadnya mara ke pentas final dengan kemenangan 4-2 sesudah kedudukan hingga masa tambahan terikat tanpa jaringan.

Mengulas perlawanan itu, Azim akui terkejut kerana disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan kerana baginya rakan seposisinya adalah lebih layak untuk memikul tugasan itu, bagaimanapun dia berterima kasih kepada jurulatih, Bojan Hodak yang memilihnya.

"Saya tidak fikir apa-apapun sebelum perlawanan, lagipun saya tidak menyangka disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan pada malam ini (malam tadi), sebab ketika latihan jurulatih cakap minta bersedia dan saya berlatih seperti biasa.

"Pada mesyuarat petang tadi (petang semalam), saya terkejut namun teruja apabila lihat di papan putih nama saya ditugaskan mengawal pintu gol, ketika sesi memanaskan badan, ada perasan gugup sebab pertama kali beraksi di stadium yang penuh, bagaimanapun saya akui masih banyak lagi yang perlu diperbaiki," kata Azim yang dinobatkan pemain terbaik oleh Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 12:11 PM