MENDOZA setakat ini pamer prestasi cemerlang bersama KL City. FOTO Aizuddin Saad
MENDOZA setakat ini pamer prestasi cemerlang bersama KL City. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dua penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City) sedia menjadi 'baju kalis peluru' bagi memastikan gawang pasukan tidak dibolosi dalam aksi final Piala AFC menentang Al Seeb dari Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Hakikatnya untuk memilih antara Kevin Ray Mendoza dan Azri Ghani sebagai benteng terakhir pasukan bukan mudah apatah lagi kedua-dua penjaga gol itu sudah memperagakan aksi umpama 'spiderman' sepanjang laluan KL City mara perlawanan kemuncak itu.

Mendoza misalnya, beraksi cemerlang di peringkat final Antara Zon apabila menghalang deretan peluang penyerang Sogdiana Jizzakh dari Uzbekistan termasuk berjaya menangkis sepakan penalti selepas aksi terbabit diheret ke penentuan penalti, sebelum KL City menang dengan 5-3 selepas terikat tanpa jaringan dalam 120 minit.

Kecekapan Azri juga terbukti, apabila dia menjadi batu penghalang buat kelab Vietnam, Viettal FC di separuh akhir Zon Asean apabila menyelamatkan percubaan demi percubaan termasuk penentuan penalti yang berkesudahan menang 6-5.

Persembahan cemerlang turut diulangi Azri pada separuh akhir Antara Zon apabila skuad The City Boys menewaskan kelab India, ATK Mohun Bagan dengan 3-1.

Jelas Mendoza, dia sedia memikul tanggungjawab mengawal gawang pasukan jika dipilih beraksi pada aksi kemuncak itu nanti.

"Saya tidak melakukan apa-apa, sebaliknya kami bergerak dan bermain sebagai satu sepasukan. Saya sentiasa bersedia jika diperlukan dan harap saya akan bermain sebaik mungkin," kata penjaga gol pasukan kebangsaan Filipina itu.

Sementara itu, Azri menyerahkan nasibnya di tangan pengendali pasukan, Bojan Hodak untuk memilih antaranya atau Mendoza.

Kata pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, dia tidak kisah jika rakan seposisinya itu diturunkan kerana baginya Mendoza antara tonggak import dalam saingan Liga Malaysia yang paling menyerlah terutama di posisi penjaga gol.

"Dalam padang kita orang bersaing dengan cara yang betul. Saya tak kisah kalau saya atau Mendoza yang diturunkan, pasal kita membantu pasukan menjuarai Piala AFC itu pun dah cukup bermakna bagi saya.

"Tapi itulah, siapa-siapa yang bermain pun saya tak kisah, asalkan boleh luahkan kudrat apa yang ada," kata Azri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 3:38 PM