PEMAIN dan pegawai pasukan KL City FC bergambar bersama penyokong selepas menewaskan Viettel FC, malam tadi. FOTO FB KL CITY FC
PEMAIN dan pegawai pasukan KL City FC bergambar bersama penyokong selepas menewaskan Viettel FC, malam tadi. FOTO FB KL CITY FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Semangat juang tinggi disulami dengan bacaan taktikal tepat adalah rahsia kejayaan Kuala Lumpur City FC (KL City) memahat sejarah baharu layak ke pentas final Zon Asean Piala AFC untuk bertemu PSM Makassar dari Indonesia, hujung bulan ini.

Kemaraan ke final itu dilakukan dengan penuh 'bergaya' meskipun menerusi penentuan sepakan penalti di depan ribuan penyokong kelab Vietnam, Viettel FC, malam tadi.

Dalam aksi separuh akhir Zon Asean di Stadium Thong Nhat di Ho Chi Minh itu, KL City menang penalti 6-5 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit itu.

Penjaga gol skuad The City Boys, Azri Ghani muncul wira apabila menyekat sepakan ketujuh tuan rumah selepas lima sepakan awal terikat empat sama.

"Secara individu mereka (Viettel) lebih baik daripada kami, tapi pasukan kami miliki semangat juang tinggi dan kami memenanginya.

"Malah corak begitu kami lakukan ketika memenangi Piala Malaysia musim lalu dan begitulah cara kami melakukannya.

"Biarpun kami hanya sebuah kelab kecil, tapi berjaya mendapatkan keputusan mengejutkan dan kami akan teruskannya," kata pengendali KL City, Bojan Hodak selepas perlawanan itu.

Menurutnya, pemain berjaya mengikut segala perancangan termasuk bertahan dengan cukup ampuh bagi menafikan gerakan lawan yang amat pantas dan bahaya.

"Seperti saya cakap sebelum ini, Viettel adalah satu pasukan terkuat di rantau ini, tapi kami berjaya bertahan dan menghalang dengan baik.

"Dalam 20-30 minit awal, mereka hanya ada satu percubaan tepat ke arah penjaga gol, dan penjaga gol kami hanya menyelamatkan satu percubaan bahaya mereka. Ia perlawanan yang sukar dan apabila tiba ke penentuan penalti, ia lebih kepada tuah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 7:01 PM