CORBIN pada sidang media hari ini. FOTO Bernama
CORBIN pada sidang media hari ini. FOTO Bernama
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun ranking dunia memihak kepada skuad kebangsaan di kedudukan ke-138 berbanding Papua New Guinea di kedudukan ke-159, pemain Harimau Malaya perlu berwaspada dengan taktikal skuad lawan bagi mengelak 'dibaham' pasukan itu pada aksi malam esok.

Peringatan itu disuarakan tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Corbin Ong yang menegaskan dalam bola sepak elemen kejutan adalah perkara biasa jika pemain sesebuah pasukan mengambil mudah.

Malaysia yang bakal turun pada aksi persahabatan antarabangsa kedua Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, kini berpeluang untuk melebarkan rekod kemenangan keempat berturut-turut pada musim ini selepas membenam Turkmenistan 1-0, Hong Kong 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri dan terbaharu Kepulauan Solomon 4-1 minggu lalu.

"Fokus utama kami adalah untuk meneruskan rentak kemenangan, jadi kami perlu mengikut segala perancangan jurulatih, Kim Pan-gon dengan memberikan segalanya untuk negara.

"Bagaimanapun kita perlu berwaspada dengan ancaman pasukan pelawat, kami ada melihat analisis video perlawanan persahabatan antara Singapura dan pasukan itu (Papua New Guinea) yang berakhir dengan keputusan seri 2-2, ternyata ia bukan perlawanan yang mudah buat kami.

"Tapi kami sudah bersedia sepenuhnya daripada segi fizikal dan mental, jurulatih pastinya ada ramuannya yang tersendiri dan bersedia dengan taktikal sebelum turun berdepan pasukan itu.

"Jadi kami perlu fokus setiap masa dengan memperagakan aksi terbaik dengan mengelak melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan itu nanti, saya harap pasukan kami ada peningkatan selepas berdepan dengan Kepulauan Solomon tempoh hari," katanya ketika ditemui pada sidang media di Ar-Riyadah Residence Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), hari ini.

Pemain kelahiran England itu berpeluang untuk menambah jaringan peribadinya bersama skuad kebangsaan selepas kini merekod tiga jaringan menerusi 24 penampilan bersama skuad Harimau Malaya bermula 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 4:38 PM