PEMAIN Senegal meraikan jaringan Mane di Stadium Jose Alvalade.
PEMAIN Senegal meraikan jaringan Mane di Stadium Jose Alvalade.
Reuters

Lisbon: Sadio Mane menjaringkan dua gol ketika Senegal bangkit mencipta kejutan dengan menewaskan Brazil 4-2 dalam aksi persahabatan di Lisbon awal pagi tadi.

Kekalahan juara dunia lima kali itu adalah yang ketiga dalam empat perlawanan terakhir mereka.

Ia juga kali pertama Brazil tewas dengan dua gol sejak mereka ditewaskan Chile 2-0 pada 2015, manakala mereka tidak melepaskan empat atau lebih jaringan sejak dimalukan 1-7 oleh Jerman pada separuh akhir Piala Dunia 2014.

Lucas Paqueta meletakkan Brazil di depan pada awal babak pertama dan mereka terlepas penalti selepas Vinicius Jr dikasari dalam kotak penalti. Namun pengadil tidak memberikan penalti susulan berlaku ofsaid terlebih dahulu.

Senegal memanfaatkan peluang pertama mereka apabila pertahanan Brazil gagal menyekat hantaran ke dalam kotak penalti yang disambut dengan voli kencang Habib Diallo minit ke-22.

Jaringan itu meningkatkan keyakinan Senegal dan mereka menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit selepas rehat apabila tandukan Ismaiia Sarr terkena pertahanan Brazil, Marquinhos sebelum Mane meledak rembatan lencung di luar kotak penalti.

Marquinhos menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol kedua Brazil tetapi Senegal terus mengasak dan melebar jaringan menerusi penalti Mane selepas Nicolas Jackson dikasari penjaga gol Brazil Ederson.

Kekalahan itu satu lagi tamparan hebat kepada Brazil yang dikendalikan pengurus skuad B-20 Ramon Menezes sebagai jurulatih sementara.

FA Brazil (CBF) masih berusaha mendapatkan pengurus Real Madrid Carlo Ancelotti sebagai jurulatih mereka. Peranan itu kosong sejak peletakan jawatan Tite susulan kekalahan di suku akhir Piala Dunia pada Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 7:38 AM