MARQUINHOS kini milik Arsenal. -FOTO Agensi
MARQUINHOS kini milik Arsenal. -FOTO Agensi
AFP

London: Arsenal membuat langkah pertama pada jendela perpindahan apabila mengikat penyerang Brazil, Marquinhos dari Sao Paulo.

Pemain muda berusia 19 tahun itu bersetuju dengan 'kontrak jangka panjang' bersama Gunners yang sebelum itu dikatakan bersedia berpindah ke Wolves.

Marquinhos menjaringkan empat gol dalam 41 penampilan bersama Sao Paulo dan sebahagian daripada skuad yang memenangi kejuaraan peringkat negeri di Sao Paulo pada 2021.

Dia juga turut beraksi bersama skuad bawah 17 tahun Brazil.

Pengarah teknikal Arsenal, Edu memaklumkan: "Kami gembira dapat menyelesaikan perpindahan dengan Sao Paulo kerana Marquinhos adalah antara pemain yang mendapat perhatian ketika ini.

"Pada usia 19 tahun dia masih sangat muda, jadi dia adalah pemain untuk masa depan.

"Kami berharap dia akan dapat menyertai kami untuk aksi pra-musim, menjadikan pasukan ini sebagai rumah barunya dan terus berkembang bersama kami."

Sementara itu seorang lagi sasaran Arsenal adalah pemain tengah Leicester, Youri Tielemans berkata, dia akan 'mengkaji tawaran saya musim panas ini dan membuat keputusan' mengenai masa depannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 8:22 AM