HALIM membuat sasaran untuk teruskan sesi pemulihan saya di MSNK. FOTO Ihsan KDA FC
HALIM membuat sasaran untuk teruskan sesi pemulihan saya di MSNK. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Bekas pemain tengah Selangor FC, Halim Saari sedang memberi fokus terbaiknya untuk kembali membuat penampilannya dalam Liga Malaysia (Liga M) sebelum tempoh Jendela Perpindahan Kedua berakhir pada musim ini.

Dia yang pernah menyarung jersi skuad Kedah bermula musim 2016 sebelum berhijrah ke Selangor pada 2019 hingga 2022 lalu ini kini telah kembali ke Kedah dan menjadikan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sebagai tempat untuk menjalani proses pemulihan dari kecederaan 'Anterior Cruciate Ligament' atau ACL yang dihadapinya pada tahun lalu.

Menurut pemain berusia 28 tahun kelahiran Kulim, Kedah ini, sasarannya kini adalah kembali ke tahap kecergasan yang terbaik yang dijangkakannya dalam tempoh sebulan dari sekarang bagi memastikan beliau dapat beraksi semula dengan mana-mana kelab selepas ini.

"Selepas tidak terikat dengan mana-mana pasukan, saya membuat sasaran untuk teruskan sesi pemulihan saya di Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK) selama enam bulan sejak hujung tahun lalu.

"Sehingga sekarang perkembangan saya sudah sampai ke tahap berada di padang dan melihat pada keadaan semasa dan jika semuanya berjalan lancar, saya akan mula mencari pasukan untuk saya kembali beraksi.

"Setakat kini saya sudah menjangkaui 80 peratus proses pemulihan dan jika ikutkan sasaran saya, dalam tempoh sebulan lagi saya dapat capai sasaran penuh iaitu sebelum tempoh kedua jendela perpindahan berakhir pada Ogos," katanya.

Turut dimaklumkan oleh laman rasmi Sang Kenari, Halim kini sedang mendapat rawatan di bawah seliaan Helber Richards di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), Alor Setar dimana Helber pernah bersama Halim sebelum ini ketika Halim beraksi bersama Selangor FC.

"Dengan kemudahan hub prestasi sukan dan perubatan KDA FC di SSAH di bawah seliaan fisioterapi Richards, sudah pasti lebih mudah untuk Halim menguruskan jadual pemulihannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 2:00 PM