VINICIUS antara pemain yang teruk mendapat serangan berbaur perkauman. FOTO Reuters
VINICIUS antara pemain yang teruk mendapat serangan berbaur perkauman. FOTO Reuters
Reuters

Barcelona: Pemain Real Madrid, Vinicius Jr akan mengetuai jawatankuasa khas anti-perkauman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) yang terdiri daripada pemain yang akan mencadangkan hukuman lebih ketat bagi tingkah laku diskriminasi dalam bola sepak.

Perkara berkenaan disahkan oleh Presiden Fifa, Gianni Infantino kepada Reuters semalam.

Penyerang Brazil itu didera secara berbaur perkauman oleh peminat ketika Real menentang Valencia bulan lalu dan ia insiden ke-10 membabitkan pemain berusia 22 tahun itu yang turut menyaksikan LaLiga membuat laporan kepada pendakwa raya.

Infantino memberitahu Reuters bahawa selain mengenakan hukuman disiplin dan pertandingan, Fifa juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pendera di negara-negara di mana perkauman berlaku dalam perlawanan bola sepak.

"Tidak akan ada lagi bola sepak yang membabitkan isu perkauman. Permainan harus dihentikan serta-merta apabila ia berlaku. Cukuplah," kata Infantino selepas bertemu Vinicius dan pasukan kebangsaan Brazil, yang menentang Guinea di Barcelona.

"Saya meminta Vinicius untuk mengetuai kumpulan pemain ini yang akan memberikan hukuman lebih tegas terhadap perkauman yang kemudiannya akan dilaksanakan oleh semua pihak berkuasa bola sepak di seluruh dunia.

"Kami perlu mendengar luahan pemain dan apa yang mereka perlukan untuk bekerja dalam persekitaran yang lebih selamat. Kami sangat serius mengenainya.

"Kami akan melaksanakan hukuman yang sangat jelas dan keras untuk menamatkan semua masalah perkauman dalam bola sepak. Kita tidak boleh bertolak ansur dengan perkauman lagi. Sebagai presiden Fifa, saya rasa saya perlu bercakap secara peribadi dengan Vinicius mengenainya."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 1:47 PM