VINICIUS berdiri di belakang gol berhadapan dengan penyokong dan menunjuk ke arah pelaku yang mengejeknya. FOTO AFP
VINICIUS berdiri di belakang gol berhadapan dengan penyokong dan menunjuk ke arah pelaku yang mengejeknya. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Individu yang berpengaruh dalam bola sepak termasuk Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino menyatakan sokongan ke atas Vinicius Junior selepas bintang Real Madrid itu diserang sekali lagi secara perkauman dalam La Liga.

Infantino menyatakan sokongannya selepas Vinicius menggelar liga Sepanyol itu sebagai 'perkauman' apabila menerima cemuhan perkauman daripada peminat dalam perlawanan di Stadium Mestalla Valencia.

Sementara itu, Real Madrid membuat aduan jenayah kebencian kepada pendakwa raya Sepanyol berhubung laungan perkauman yang dilemparkan kepada pemain Brazil itu.

Penyerang berusia 22 tahun itu menjadi sasaran ejekan berbaur perkauman semasa kekalahan Real Madrid 0-1 di tangan Valencia.

Vinicius mengeluarkan kenyataan yang tegas selepas itu mengatakan bahawa La Liga adalah 'liga perkauman' dan beberapa bekas pemain Brazil dan yang masih aktif juga bersetuju serta menyokong dengan kenyataannya.

"Dia diserang dan digelar 'monyet'," kata presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva yang turut mengecam isu perkauman itu.

Presiden itu berkata demikian di sidang media pada penutup sidang kemuncak G7 di Hiroshima, Jepun.

Vinicius sering menjadi sasaran dalam La Liga dan insiden terbaru berlaku di Mestalla Valencia apabila dia diejek berbaur perkauman oleh penyokong tuan rumah.

Vinicius bertindak berdiri di belakang gol berhadapan dengan penyokong dan menunjuk ke arah pelaku yang mengejeknya.

Perlawanan itu ditangguhkan selama beberapa minit pada separuh masa kedua.

Pengadil perlawanan, Ricardo de Burgos Bengoetxea memohon pegawai stadium untuk membuat pengumuman dan menggesa penghinaan perkauman dihentikan sebelum perlawanan disambung semula kira-kira 10 minit kemudian.

Selepas perlawanan, pengadil menulis laporan bahawa seorang peminat menjerit 'monyet, monyet' kepada pemain Real Madrid itu.

Vinicius dilayangkan kad merah pada masa tambahan pada penghujung permainan kerana pemain itu bertindak memukul Hugo Duro semasa pergaduhan berlaku.

Perlawanan itu menyaksikan Valencia menang 1-0 menerusi gol separuh masa pertama jaringan Diego Lopez.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 7:11 PM