RAYMOND Gunemba (kanan) pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Papua New Guinea, esok. FOTO GHAZALI KORI
RAYMOND Gunemba (kanan) pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Papua New Guinea, esok. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kapten Papua New Guinea, Raymond Gunemba menjelaskan dia dan rakan sepasukannya tidak akan sesekali membiarkan pemain Malaysia 'bermaharajalela' mendominasi permainan apabila kedua-dua pasukan itu bertembung pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.

Jelas penyerang berusia 37 tahun itu, walaupun berdepan dengan pasukan di ranking lebih baik, dia dan rakan sepasukannya tekad untuk menyajikan aksi bertenaga sebagaimana ketika seri 2-2 ketika berdepan Singapura, Jumaat lalu.

Bagaimanapun pemain yang pernah beraksi bersama skuad negaranya pada 2016 ketika menewaskan Malaysia 2-0 pada ketika itu sedar cabaran berliku bakal dilalui pasukannya lebih-lebih lagi beraksi di depan ribuan peminat setia lawan.

"Kami benar-benar cergas untuk berdepan Malaysia selepas bertemu Singapura tempoh hari, kami akan berikan yang terbaik, lagipun kami lebih sukakan cabaran.

"Kami akan berusaha lebih keras untuk menyaingi lawan, lagipun pasukan kami adalah campuran pemain muda dan senior, pastinya corak permainan pantas bakal kami sajikan, namun bagi kami berdepan Malaysia bukan sesuatu yang mudah, lagipun skuad ini (Malaysia) pastinya bersemangat selepas membenam Kepulauan Solomon 4-1, minggu lalu.

"Jadi kami juga perlu berwaspada berdepan Malaysia dan pada masa sama mahu meningkatkan lagi prestasi pasukan kami berbanding sebelum ini," katanya pada sidang media di Ar-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Kuala Nerus, hari ini.

Berdasarkan rekod, pemain kelab Lae City Dwellers dalam Liga Papua New Guinea itu antara penyerang berbahaya pasukannya. Sepanjang 26 penampilannya bersama skuad kebangsaan, dia berjaya menjaringkan 11 gol.

Justeru pertahanan Harimau Malaya perlu 'merantai' penyerang berpengalaman itu sebaik mungkin bagi mengelak daripada bergerak bebas terutama dalam kawasan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 6:34 PM