INTAN Serah melakukan debut pertamanya di Liga Bolasepak Wanita Amerika Syarikat awal pagi tadi. -FOTO Instagram Intan Serah
INTAN Serah melakukan debut pertamanya di Liga Bolasepak Wanita Amerika Syarikat awal pagi tadi. -FOTO Instagram Intan Serah
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Intan Sarah Anisah Zulgafli mencipta sensasi di bumi Amerika Syarikat apabila muncul pemain wanita pertama negara beraksi di liga negara itu dalam saingan Liga Premier Bolasepak Wanita (WPSL).

Dia yang baharu menjejakkan kaki di New York kelmarin, hanya memerlukan 48 jam untuk terus diberi kepercayaan oleh kelabnya, New York Dutch Lions FC (NYDL) apabila turun beraksi ketika menentang SUSA FC di Kompleks Sukan SUSA, Long Island di New York, awal pagi tadi.

Intan yang memakai jersi bernombor 10 dimasukkan sebagai pemain gantian di babak kedua bagi menambah sengat jentera hadapan pasukannya itu.

Selepas aksi itu, Intan mengakui gembira dapat membantu NYDL meraih satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

"Kemunculan pertama dengan NYDL dan 10 minit pertama saya dengan jersi nombor 10 pertama saya. Perlawanan yang terbaik bersama rakan sepasukan. Satu mata dan lebih banyak mata lagi akan diburu," katanya di Instagram miliknya.

Pemain negara itu turut berkongsi pengalaman pertamanya bersama pasukan apabila mengakui cuaca di sana ketika ini cukup sejuk.

Malah, ketika dia melakukan sesi memanaskan badan sebelum perlawanan, Intan akui badannya seperti duduk di dalam peti sejuk dan dirinya sedang berusaha menyesuaikan diri dengan suasan baharu itu.

"Cuaca kat sini sangat sejuk. Saya kat bangku simpanan sumpah macam duduk dalam peti ais, jari semua beku. Rasa tak boleh 'warmup' biasa, kena masuk 'microwave' kalau nak panas badan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 3:00 PM