INTAN hilang telefon bimbitnya dalam pesawat. FOTO Intan Sarah Anisah Zulgafli
INTAN hilang telefon bimbitnya dalam pesawat. FOTO Intan Sarah Anisah Zulgafli
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Semangat pemain wanita sensasi negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli cukup membara dan layak dipuji biarpun terpaksa berdepan pelbagai dugaan untuk mencapai impian beraksi bersama kelab baharunya, New York Dutch Lions FC di Amerika Syarikat (AS).

Ini kerana, sebaik Intan menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York malam tadi, telefon bimbitnya hilang di atas pesawat.

Malah sebaik tiba di pusat latihan pasukan di Universiti Long Island pula, Intan terus turun menjalani latihan selepas melakukan penerbangan hampir 22 jam dan tidak dapat melelapkan mata sepanjang perjalanan yang memakan jarak sejauh 24, 793 kilometer (km).

Begitupun, pemain negara berusia 24 tahun itu tidak mengeluh sebaliknya cukup bermotivasi dan tidak sabar untuk turun beraksi dalam saingan Liga Premier Bolasepak Wanita (WPSL).

"Mendarat saja telefon bimbit hilang, 'then' barai barai, itu saya 'request' nak berlatih dekat jurulatih.

"Sekurangnya saya dapat sesuaikan diri sebelum perlawanan esok. Saya cuba tahan mata (perubahan waktu antara Malaysia dan Amerika Syarikat) sebab nak tidur waktu sini.

"Jadi inilah saya, barai sebarai barainya…24 jam tak tidur. Doakan saya jumpa telefon bimbit saya," katanya yang dijangka diturunkan untuk aksi berdepan SUSA FC di Kompleks Sukan SUSA, Long Island di New York.

Untuk rekod, bekas pemain futsal wanita negara itu adalah pemain wanita pertama beraksi di AS dan yang ketiga di luar negara.

Sebelum ini, penjaga gol wanita negara iaitu Nurul Azurin Mazlan bermain di Liga India bersama Misaka United FC serta Celine Chuang yang menyertai kelab gergasi Jerman, Bayern Munich pada 2021 lalu.

Sementara itu, Intan mengakui masalah mendapatkan visa menyaksikan dia hanya sempat beraksi buat New York Dutch Lions FC untuk baki enam aksi sahaja selama 18 hari.

Katanya, dia sepatutnya bersama pasukan baharunya sejak April lalu namun niat itu terpaksa ditangguhkan kerana mahu membantu skuad Malayan Tigress di Sukan Sea Kemboja bulan lalu.

Ini bermakna, dia hanya menandatangani kontrak jangka pendek namun Intan tetap bersyukur diberi peluang mempamerkan bakat di Amerika Syarikat sekaligus mahu menunjukkan 'taringnya' betapa bola sepak wanita juga mampu bersaing di peringkat tertinggi.

"So unfortunately', hanya berbaki 18 hari dan 'a few matches' sahaja. 'But it is what it is', ia tetap satu rezeki yang tak akan datang lagi," katanya.

Jelasnya lagi, dia harap pemergiannya ke negara 'Uncle Sam' itu akan membuka langkah buat lebih ramai pemain wanita beraksi di sana selepas ini.

"Saya harap ini akan bawa perubahan untuk bola sepak wanita di Malaysia dan memberi inspirasi kepada ramai gadis muda untuk menjadi pemain bola sepak yang lebih baik dengan meletakkan matlamat mereka yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 1:35 PM